Wednesday, May 27, 2020

SANUSI DAN BALAK : KENAPA KHAZANAH ALAM KEDAH MAHU DIKORBAN?


1. Saya terpanggil untuk memberi respon kepada laporan berita dalam Berita Harian dan Malaysiakini serta dua kenyataan media rasmi yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Kedah mengenai pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda. Setelah diasak oleh rakyat, YAB Menteri Besar mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini untuk mempertahankan keputusan pentadbiran beliau.

2. Laporan di Berita Harian itu kini telah ditarik balik dan tiada lagi dalam laman web mereka. Manakala tentunya dua kenyataan media dari Pejabat Menteri Besar mendapat restu dari YAB Menteri Besar sendiri. Maka Rakyat boleh menganggap kenyataan rasmi itu seperti datangnya dari Menteri Besar sendiri.

3. Ingin saya menyatakan bahawa pengurusan hasil bumi negeri adalah satu tanggungjawab yang sangat penting di dalam pentadbiran sebuah Kerajaan Negeri. Tanggungjawab untuk menguruskan pendapatan hasil mahsul negeri digalas oleh Menteri Besar sendiri.


4. Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Kerajaan Negeri Kedah dari zaman Barisan Nasional, PAS dan kemudiannya kembali semula ke BN sememangnya menganugerahkan konsesi pembalakan kepada syarikat-syarikat swasta dan Syarikat Berkait Kerajaan (GLC). Kawasan Hutan Pengeluaran yang terlibat terletak di sekitar Negeri Kedah.

5. Antara kawasan-kawasan yang dianggap hutan dara, yang paling kaya dengan kayu bernilai tinggi dan menjadi rebutan pembalak ialah Hutan Simpan Ulu Muda. Namun kawasan ini juga merupakan sumber air mentah yg menyumbang kepada pembekalan air kepada Empangan Ulu Muda yang bersambung dengan Empangan Pedu. Kedua-dua empangan ini sangat penting dalam menjamin bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan domestik, pertanian dan industri — bukan hanya untuk Kedah sahaja, malah juga untuk Negeri Perlis dan Pulau Pinang.

6. Memandangkan Hutan Simpan Ulu Muda itu sangat penting untuk tujuan tersebut, dan menyedari juga bahawa khazanah alam flora di situ mempunyai biodiversiti yang sangat tinggi, maka saya dan rakan-rakan Exco Kerajaan Pakatan Harapan Kedah pada Mac 2019 memutuskan untuk menghentikan semua aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda sehingga satu penyelesaian yang bersifat menang-menang-menang dicapai. Siapa tiga pihak yang perlu menang itu? Yang pertama ialah Kerajaan yang menjaga kepentingan Rakyat; yang kedua ialah pihak swasta dan industri perkayuan; dan yang ketiga adalah pembela alam sekitar seperti Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).

7. Saya berterima kasih kepada syarikat-syarikat yang telah dianugerahkan konsesi di Hutan Simpan Ulu Muda kerana sejak saya mengumumkan pemberhentian aktiviti pembalakan itu, tiada syarikat yang mengugut untuk mengheret Kerajaan ke mahkamah. Kerajaan saya ketika itu sering berbincang dengan Persatuan Syarikat-syarikat Pembalakan Kedah untuk mendengar pandangan. Hasil daripada sesi-sesi engagement itu, hanya beberapa tuntutan bertulis telah diterima. Semua pihak memberi kerjasama yang baik bagi mencapai kata sepakat sambil memahami pendirian Kerajaan Negeri perihal kelestarian hutan Kedah.

8. Pada pembentangan Bajet Kedah 2020 di Dewan Undangan Negeri bulan Oktober 2019, saya telah menyatakan beberapa ketetapan tentang Hutan Simpan Ulu Muda. Ketetapan-ketetapan itu telah saya ulangi dalam ucapan terakhir saya sebagai Menteri Besar pada 17 Mei yang lepas.

9. Ini telah diperincikan kepada setiap syarikat yang telah ditawarkan kompartmen hutan untuk tujuan pembalakan melalui tiga Mesyuarat Jawatan Kuasa Hasil Bumi yang saya pengerusikan untuk sekaligus menyelesaikan semua kes-kes yang tertunggak. Oleh sebab fail-fail mesyuarat yang hendak diperincikan dan diputuskan begitu banyak, maka jawatankuasa itu bermesyuarat pada 23 April, 30 April dan 5 Mei, 2020.

10. Antara yang telah dipersetujui ialah beberapa pendekatan untuk dimaklumkan kepada syarikat. Bagi syarikat yang telah diluluskan kawasan pembalakan tetapi belum membayar premium sepenuhnya, mereka akan diberikan tempoh tertentu untuk menjelaskan bayaran yang tertunggak. Kalau mereka gagal membayar, maka kelulusan akan dibatalkan.

11. Jika kompartmen pembalakan mereka terletak di dalam kawasan tadahan air yang baharu, dan mereka membayar premium sepenuhnya, maka mereka akan diminta mengenalpasti kompartmen yang lain diluar kawasan tadahan air. Tiada konsesi baru akan dikeluarkan kerana kawasan pembalakan yang diluluskan sejak zaman Kerajaan PAS lagi telah melebihi kuota yang ditentukan oleh Akta Perhutanan Negara 1984.

12. Berita keputusan-keputusan ini diterima baik oleh semua syarikat konsesi kerana mereka memahami bahawa semua pihak perlu berkompromi bagi merealisasikan kepentingan bersama.

13. Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada mana-mana pihak, baik secara berasingan mahupun secara bersama, yang telah menuntut pampasan dari Kerajaan Kedah sehingga mencecah RM1.0 bilion. Ini satu pembohongan yang mungkin bertujuan untuk menghalalkan keputusan untuk meluluskan konsesi. Semua kes-kes tertunggak melibatkan Hutan Simpan Ulu Muda dan Hutan Simpan Bukit Saiong telah diselesaikan melalui mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Hasil Bumi yang telah saya pengerusikan. Apa yang diumumkan oleh Kerajaan Kedah PAS sekarang bukannya penyelesaian yang mereka capai sejak sepuluh hari menjadi Kerajaan. Tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini telah dipikul dan diselesaikan dengan baik oleh Kerajaan PH sebelum ini. Tidak ada apa-apa masalah yang terpaksa diselesaikan oleh Menteri Besar yang baru sepuluh hari itu. Maka tidak perlulah mendabik dada seolah-olah ada masalah besar yang telah ditinggalkan oleh PH yang perlu diselesaikan segera oleh PAS dan sekutunya.

14. Kerajaan PAS Kedah cuma perlu melaksanakan sahaja kesemua keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan PH sebelum ini. Maka selamatlah Kedah dari apa-apa ancaman kes mahkamah atau tuntutan pampasan. Jangan kelirukan Rakyat dengan dakwaan yang bukan-bukan. Rakyat memerhati setiap gerak langkah Menteri Besar dan Exco. Lebih dari itu, Allah SWT sentiasa mengetahui apa yang terniat di dalam hati anda semua. Silap langkah, terima padahnya.

Dato’ Seri Utama Hj. Mukhriz Tun Mahathir
Mantan Menteri Besar Kedah
Ahli Parlimen Jerlun
ADUN Jitra

Rabu, 27 Mei 2020

#MMFC
#UluMuda
#Kedah
#SelamatkanKedah

1 comment:

  1. Setiap Yg berlaku ade rahmat Dari Allah. Yg rakyat nak tgk, mcm mane mereka nak selesaikan masaalah arak Dan pembunuh bomba Yg mereka laung kan dulu. Bukan Itu je yg merwka Cuba perjuangkan dulu. Jadi Dah ade kuasa, tunggu ape lagi. Buat la kerja, jgn sebok rebut jawatan. Satu Demi Satu Allah tunjukkan wajah sebenar mereka. Yg akan dtg tak Tau lagi...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...