Monday, August 2, 2021

HORMATI PERLEMBAGAAN: MOHON MAAF DAN AKUI KESILAPAN - Agus Yusuf


 HORMATI PERLEMBAGAAN: MOHON MAAF DAN AKUI KESILAPAN - Agus Yusuf

1. Tulisan ini ringkas, sekadar membahaskan kenyataan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram yang menyatakan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak penting bagi keputusan kabinet untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat.  

2. Beliau mengeluarkan pandangan ini sebagai reaksinya terhadap kenyataan Agong yang belum memberi perkenan terhadap langkah kerajaan PN untuk membatalkan ordinan darurat.

3. Apa hujah Sri Ram untuk menyatakan tandatangan Agong tidak perlu? 

4. Beliau bersandarkan hujahnya dengan merujuk kes antara kerajaan persekutuan vs. Kelantan semasa kerajaan 

5. Kerajaan Kelantan mencabar perjanjian ini kerana kerajaan pusat mendatangani Perjanjian Malaysia 1963 tanpa persetujuan Sultan Kelantan. Semasa membuat keputusan, ketua hakim ketika itu Sir James Beveridge Thomson, memutuskan kabinet mempunyai kuasa untuk bertindak atas nama raja.

6. Sri Ram menambah, “Jika anda baca penghakiman Thomson dalam kes tersebut secara teliti, jelas Kabinet mempunyai kuasa tertinggi dalam semua perkara…. Kabinet menjalankan tugas atas nama raja, maka tandatangan rasmi daripada raja tidaklah penting.”

7. Betulkah pandangan Sri Ram? Bagi saya, anologi Sri Ram membandingkan tandatangan Raja dalam kes Pusat vs Kelantan kerana tidak bersetuju dengan Perjanjian Malaysia dengan perkenan Agong dalam kes pembatalan ordinan darurat adalah tidak tepat. 

8. Kes Kelantan vs Pusat adalah dalam keadaan kerajaan pusat bertindak bagi pihak Tanah Melayu yang Kelantan adalah sebahagian daripadanya. Manakala kes perkenan Agong dalam kes darurat ini adalah berkaitan dengan kuasa perundangan untuk pembatalan ordinan darurat.

9. Siapa yang mempunyai kuasa perundangan? Apakah kabinet seperti kata Sri Ram yang “…mempunyai kuasa tertinggi dalam semua perkara.” 

10. Kabinet tidak ada kuasa perundangan. Kuasa perundangannya adalah di bawah perkara 44 perlembagaan: “… hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.”

11. Begitu juga dengan kenyataannya yang menyatakan “Kabinet mempunyai kuasa tertinggi dalam semua perkara…. Kabinet menjalankan tugas atas nama raja, maka tandatangan rasmi daripada raja tidaklah penting.”

12. Kuasa tertinggi dalam negara bukan kabinet, tetapi perlembagaan. Kuasa kabinet ialah membuat dasar bertujuan untuk membina sebuah kerajaan yang cekap dan berkesan dan dasar itu hendaklah mengikut bidang kuasa yang diluluskan oleh parlimen. Perlembagaanlah yang memberi kuasa kepada kabinet.

13. Sri Ram juga menyatakan “Kabinet menjalankan tugas atas nama raja, maka tandatangan rasmi daripada raja tidaklah penting.” Saya memahami hal ini sejak kecil lagi. Dahulu apabila berurusan dengan kerajaan, setiap sampul surat atau kepala surat tertulis nama Urusan Seri Paduka Baginda. Ini bermakna kerajaan berfungsi bagi pihak raja dan atas nama raja, bukannya untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang tidak perlu tandatangan raja.  

14. Maka, mengaitkan kenyataan Sri Ram yang menyatakan perkenan Agong tidak memerlukan tandatangan baginda adalah tersasar. Bagaimana perkenan Agong tidak memerlukan tandatangan? Cukupkah sekadar maklumkan sahaja dan Agong perkenan begitu sahaja tanpa menurunkan tandatangan kerana baginda “hendaklah bertindak mengikut nasihat.”

15. Saya ingin mengingatkan dalam kita mendokong raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, baginda Agong bukanlah rubber stamp. Hormati baginda dan setelah baginda telah menzahirkan rasa dukacita, usah lagi mempertahankan benang basah.

16. Tindakan terbaik yang perlu dilakukan ialah mohon maaf dan akui kesilapan. Jangan lagi rosakkan demokrasi dan rosakkan sistem raja berperlembagaan.  

17. Ingat, fakta dan kebenaran tidak boleh diitenggelamkan. Truth…is always like oil in water. No matter how much water you add to depress it, it always floats on top.

- *Prof Mohammad Agus Yusoff*

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10226561897296694&id=1324102718

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...