Tuesday, February 8, 2022

Bank GLC Bagi Hutang Tanpa Jaminan


A Kadir Jasin

1. Boleh jadi ramai tidak tahu kebankrapan Genting Hong Kong Limited akan memberi kesan kepada berjuta-juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Khazanah Nasional Berhad.

2. Malah mungkin ada yang tidak tahu bahawa konglomerat Genting ini diasaskan sebagai syarikat perjudian kasino pertama dan tunggal di Malaysia pada 1965 oleh dua orang sahabat iaitu Lim Goh Tong dan Mohamed Noah Omar. Kedua-duanya sudah meninggal dunia dengan gelaran Tan Sri.

3. Mereka mendapat tanah di atas Banjaran Titiwangsa seluas 6,000 hektar daripada kerajaan Pahang dan Selangor serta lesen kasino daripada kerajaan Persekutuan pada zaman pemerintahan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

4. Bagaimanakah kebankrapan Genting Hong Kong memberi kesan kepada pencarum KWSP, pemegang saham amanah ASB dan Khazanah? Jawapannya adalah bank-bank yang memberi duit simpanan dan pelaburan mereka digunakan bagi memberi hutang tanpa cagaran kepada syarikat tersebut adalah milik tiga GLIC ini. 

5. Siapakah yang memberi hutang tanpa cagaran itu? Pertama, Malayan Banking Berhad (Maybank), kedua CIMB dan ketiga, RHB. Maybank dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Saham Maybank adalah antara portfolio pelaburan ASB. Hasil perniagaan Maybank akan mempengaruhi pendapatan pengurus ASB dan seterusnya pulangan pelabur ASB.

6. CIMB pula dimiliki Khazanah Nasional Berhad. Jangan lupa, Khazanah sendiri mengalami kerugian RM6.3 bilion pada 2018 dan terpaksa membuat pemotongan nilai aset (impairment) berjumlah RM3 bilion pada 2020 akibat kerugian Malaysia Airlines Bhd, manakala RHB dimiliki KWSP.

7. Menteri Kewangan yang juga tokoh korporat, Tengku Zafrul dan pengurusan kanan bank-bank terlibat serta induk mereka seperti PNB, Khazanah dan KWSP wajib dipertanggungjawabkan untuk menyatakan kebenaran serta memastikan kesan sistemik tindakan mereka tidak menganiaya rakyat yang melabur dan menabung dengan mereka.
Apatah lagi, seperti yang saya sebutkan sebelum ini, mereka dibayar gaji sangat lumayan.

8. Untuk kefahaman lebih mendalam, mohon baca rencana saya dalam akhbar Sinar Harian yang dipautkan di bawah. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...