Tuesday, February 1, 2022

KISAH ULAR DAN ITIK SEBAGAI PENGAJARAN KEPADA PAS.


 31 Januari 2022

1. Di Malaysia, terdapat ramai guru agama yang mempunyai ilmu dan pandai mengajar tetapi bukan ramai yang mempunyai kebijaksanaan serta keikhlasan seperti Almarhum Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat.

2. Ramai termasuk saya sendiri pernah hadir kuliah subuh Almarhum di Masjid Pulau Melaka untuk menimba ilmu secara dekat dari Tuan Guru.

3. Kebijaksanaan almarhum Tuan Guru Nik Aziz sekali lagi menyerlah melalui pesanan "jangan dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali" apabila Presiden PAS hari ini bercerita tentang "itik patah kaki yang terbang meningalkan kawan setelah pulih di rawat" yang merujuk persahabatan PAS dan UMNO kebelakangan ini. 

4. PAS merasa kecewa dan seolah diperdaya oleh UMNO yang setelah pulih semula , bertindak meninggalkan PAS yang telah membantunya waktu jatuh dahulu.

5. Pesanan Tuan Guru Nik Aziz amat jelas dan telah diulang oleh beliau beratus kali termasuk melalui ceramah umum. Pengalaman pahit lama bersama UMNO di Terengganu dan Kelantan menghantui ingatan Almarhum. 

6. Anak murid yang sayang kepada guru nya patut taat kepada pesanan gurunya apalagi apabila gurunya juga merupakan Mursyidul am PAS.

7. Pesanan tersebut telah juga dibuat di Muktamar PAS dan individu tertentu yang ingin membawa PAS mendekati lubang ular berbisa yang sama telah ditegur secara terbuka oleh Almarhum.

8. Malangnya dugaan wang, kuasa dan pangkat kedudukan dunia ini telah kaburi pandangan pimpinan pimpinan PAS yang mabuk terglincir dari landasan perjuangan asal PAS.

9. Hanya yang berani bertindak menjauhi kumpulan tersebut dan keluar PAS untuk menubuhkan AMANAH selepas pemergian Tuan Guru.

10. Seminggu selepas kemangkatan Tok Guru Nik Aziz, saya telah disoal oleh Ketua Kawasan PAS Kuala Terengganu mengenai penulisan artikel saya tentang jasa Tok Guru Nik Aziz kepada PAS dan Umat Islam.

11. Nampaknya dari saat itu lagi pesanan pesanan Tok Guru dah mula mahu di padamkan.

12. Kalaulah pesanan Almarhum tentang "jangan dipatuk ular dari lubang yang sama" diingati dan dipatuhi PAS, tidak akan timbul kisah "itik patah kaki meninggalkan kawan setelah sembuh" !

13. Pengajaran dari kisah ular berbisa yang ganas patut menjadi ingatan kepada PAS kerana telah digigit dua kali di Terengganu dan Kelantan oleh ular berwarna biru Barisan Nasional - Perikatan yang pernah dahulu pun bergabung dengan PAS.

14. Ini termasuklah kali ketiga PAS masih bermain di lubang yang sama yang di diami ular berbisa yang sama kerana terlalu cinta pada pangkat, kedudukan dan wang.

15. Kasihan ahli dan penyokong PAS yang terheret bersama mengalami sakit patukan ular berbisa akibat tindakan pemimpin PAS yang memilih untuk melupakan pesanan Almarhum Nik Aziz.

16. Bukan itu sahaja, perjuangan melawan rasuah serta penyelewengan, janji RUU 355, hudud, basmi judi dan sebagainya hilang begitu sahaja sudah tidak kedengaran lagi di bawa lari oleh itik yang cekap berenang dan kini di lupai PAS.

17. Kalau sebelum ini PAS mengajar kita mencari keredhaan Allah dahulu dan bukan kemenangan, hari ini kuasa dan pangkat adalah segala galanya walaupun PAS terpaksa menebuk atap atau masuk melalui pintu belakang bersama UMNO. Asalkan boleh apa yang di hajat.

18. Nampak gayanya ular berbahaya yang Tok Guru minta kita awasi telah melilit ketat tengkuk pimpinan PAS sehinggakan saluran bekal oksigen ke kepala telah berkurangan untuk membolehkan mereka berfikir dengan waras dan bijaksana.

19. Itulah akibat melupakan dan mengkhianati pesanan bijaksana Mursyidul am yang bernama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH 
Pengerusi AMANAH Terengganu

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...