Susulan penolakan sebanyak tiga kali itu, Zahid beranggapan mungkin Khairy mempunyai pelan lain untuk merancang kebangkitan semula Umno sebagai parti politik dan memainkan peranan yang membina sebagai pembangkang.
"Pertama sekali tawaran saya beri sebelum pemilihan Umno, 30 Jun lalu, saya tawarkan beliau jawatan Naib Presiden sebab Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak bertanding. Tetapi KJ mahu bertanding kerusi Timbalan Presiden.
"Tapi akhirnya beliau bertanding kerusi Presiden. Selepas kalah, saya tawarkan jawatan Setiausaha Agung BN, tapi KJ tolak juga.
"Sebelum pengumuman barisan kepimpinan baharu Umno, saya tawarkan beliau buat kali ketiga sebagai ketua penerangan, ditolak juga," jelas Zahid.
Ketika ditanya alasan, penolakan KJ tersebut, Zahid berkata, beliau tidak melihat kepada alasan tetapi jika ada tawaran yang bagus untuk menghidupkan semula Umno itu yang perlu beliau nyatakan.

