SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan tentang ketidakhadirannya dalam sidang media khas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas berakhirnya persidangan Parlimen pada 18 Mei lalu.
“Mengapa saya tidak hadir, jawapannya mudah, itu bukan sidang media Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi siaran langsung di Facebook rasmi miliknya sebentar tadi.
Anwar berkata, dalam mesyuarat sebelum itu, pemimpin PH daripada PKR, DAP, dan Parti Amanah Nasional (Amanah) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Parti Warisan Sabah (Warisan), bersetuju untuk menyediakan pendirian bersama dalam isu kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Oleh yang demikian, kita tidak akan mengadakan sidang khas Pakatan Harapan (bagi isu tersebut) tapi ini tidak menghalang kalau DAP, Bersatu, Amanah atau Keadilan (PKR) buat sidang masing-masing atau ahli-ahli Parlimen mengeluarkan pandangan.
"Jadi ini saya hendak jelaskan ia (sidang itu) bukan sidang PH tetapi kita demokratik dan kita boleh keluarkan (kenyataan). Selepas ini, kita akan jelaskan supaya semua program PH atau sidang PH akan diumumkan oleh Sekretariat PH.