Tuesday, February 20, 2018

Apabila Ahli Parlimen pun kena viral berdoa depan lubang jalan rosak baru dapat perhatian

'Viral doa, makbul dalam tempoh 12 jam'


MELAKA: "Tidak sampai 12 jam gambar saya berada di hadapan lubang itu dimuat naik kali kedua hari ini, akhirnya semua siap ditampal dan turap.

"Mungkin dengan cara viral begini lebih berkesan," kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Katanya, beliau sengaja duduk di tengah laluan berlubang dekat Jalan Bukit Berlian di sini, dalam keadaan berdoa itu dibuat selepas tiada pihak tampil melakukan penurapan walaupun masalah itu berlarutan sejak sebulan lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, berkata minggu lalu enam keping gambar di lokasi sama dimuat naik ke laman sosial Facebook miliknya, namun sehingga pagi tadi, tiada kerja penurapan dibuat mendorong beliau berbuat demikian.

"Saya bekerja, sama seperti orang lain dan perkara ini sudah lama berlarutan. Tempoh seminggu juga diberikan dan pagi tadi (semalam) ketika dalam perjalanan pulang dari menziarahi kematian, saya lihat ia masih belum diturap.


"Takkan hendak tunggu sampai benda buruk terjadi baru hendak ambil tindakan. Alhamdulillah selesai kerja dan tanggungjawab saya kepada rakyat, khususnya pengguna yang melalui jalan itu," katanya.

Mengulas komen dan tanggapan negatif netizen terhadapnya, Abu Bakar berkata, beliau mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan masalah rakyat, khususnya penduduk Tangga Batu yang diwakilinya dan bukan mahu menuding jari kepada pihak lain.

Terdahulu, tiga keping gambar yang dimuatnaik di akuan Facebook peribadinya hari ini dengan keterangan '10.40 pagi, saya berdoa pagi ini, ada Datuk Bandar ke? Pegawai Daerah ke? Ahli Majlis ker? datang melihat lubang di Jalan Bukit Berlian yang makin membesar dan menggunakan kuasa mutlak yang ada untuk menampal jalan ini, sebelum ada warga Tangga Batu yang patah kaki atau tercedera. Ya Allah makbulkan permohonan hamba mu ini amin,' mendapat hampir 1,000 'like' daripada netizen yang meninggal 252 komen.

Pada minggu lalu, beliau memuat naik gambar di lokasi sama, tetapi tiada sebarang tindakan diambil pihak bertanggungjawab sehingga hari ini.

Media sebelum ini pernah melaporkan, Abu Bakar bertindak memuat naik gambar berada di dalam lubang jalan dengan keadaan berselipar jepun sebagai tanda protes.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/390320/viral-doa-makbul-dalam-tempoh-12-jam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...