Wednesday, February 14, 2018

Kes kontrak periuk nasi vs pimpinan Umno Perlis akan dibicarakan 28 Mei

 
Saman yang difailkan oleh seorang ahli perniagaan terhadap pemimpin Umno Perlis termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung perjanjian pembelian periuk nasi akan dibicarakan.

Perkara itu dinyatakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Wan Ahmad Farid Wan Salleh semasa pengurusan kes hari ini, selepas pihak berkenaan gagal mencapai penyelesaian semasa proses mediasi.

Wan Ahmad Farid kemudian menetapkan 28 Mei dan 1 Jun untuk pendengaran kes dan 22 Mac untuk pengurusan kes lanjutan.

Florence Lee Jye Wen memfailkan saman sebanyak RM500,000 pada 6 April lepas dan menamakan Shahidan, Anggota Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin dan bendahari Umno Perlis, Rozabil Abdul Rahman kerana melanggar kontrak mengenai perjanjian pembelian periuk nasi dengannya.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa Umno Perlis telah memesan sebanyak 60,000 periuk nasi bersaiz 1.8 liter yang tertera logo Umno dan Barisan Nasional bersama dengan singkatan DSSK yang merujuk kepada Shahidan Kassim pada 3 Jun 2015.

Lee mendakwa beliau pada mulanya didatangi wakil jualan yang mengatakan Umno Perlis berminat membeli periuk nasi dengan logo berkenaan.

Lee mereka bentuk logo berkenaan dan dilaporkan menunjukkan kepada setiausaha Shahidan pada Mei 2015.

Beberapa hari kemudian, beliau dimaklumkan bahawa Shahidan telah meluluskan logo dan pembelian 60,000 periuk nasi itu untuk Umno Perlis.

Pada 3 Jun, beliau dilaporkan menerima surat rasmi daripada Umno Perlis yang ditandatangani oleh setiausaha penganjurnya, Kamarudin Abdul, yang menyatakan bahawa Shahidan telah meluluskan pembelian 20,000 unit periuk nasi untuk diagihkan ke kawasan Arau dan Kangar.

Lee menganggap dokumen itu sebagai surat pengesahan pembelian, yang dianggar berjumlah RM4.4 juta.

Harga seunit dilaporkan di bawah harga pasaran iaitu RM107 seunit.

Beliau kemudiannya membuat pesanan awal 10,000 periuk nasi dengan semua unit sedia dihantar menerusi arahan Umno Perlis menjelang Jun 2015.

Bagaimanapun, hanya 2,000 unit dipesan oleh Umno Perlis untuk dihantar antara 23 Oktober 2015 dan 6 April 2016, manakala 8,000 unit lagi didakwa tidak diambil dan tidak dibayar.

Oleh itu, Lee menuntut sejumlah RM592,000 untuk 8,000 periuk nasi, ganti rugi khas sebanyak RM36,511.40 untuk kos menyimpan unit berkenaan dan kos sebanyak RM2,750.35 memandangkan unit-unit periuk nasi itu tidak boleh dijual di tempat lain disebabkan label tertera pada unit berkenaan.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/412193#bttfYSYVzgJDvHWz.99

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...