Saturday, March 10, 2018

Apabila kita cakap tak serupa bikin

CAKAP TAK SERUPA BIKIN


Seorang wanita separuh umur,dilihat berdiri dipintu pagar rumah saya bila saya mendengar loceng ditekan.Di tangannya ada sebungkus plastik.Dia segera berjalan ke pintu rumah bila pagar dibuka dan memberi salam.Mukanya berpeluh dibakar matahari,mungkin masa berkayuh basikal.Wajahnya nampak ceria,bertanya khabar hal saya.Katanya,"Cikgu,ni ada sikit ikan haruan kering yang saya buat sendiri,nak sedekah kat cikgu".Saya menyambutnya .Dia menyambung,"Hari ni saya seronok dapat bagi sedekah kerana saya dengar ustaz ceramah di masjid,siapa yang mengajak orang buat baik tetapi dia tak buat,nanti dalam neraka orang itu akan berpusing dengan isi perut terkeluaq.Saya pun pernah cakap ajak orang bersedekah tapi tak ada apa nak disedekah.Dua tiga hari lepas dapat ikan haruan dalam bendang.Inilah yang saya bawa kat cikgu."Wajahnya masih ceria tetapi telah berputik air mata dihujung kata-katanya.Ya Allah!Saya sendiri tersentuh dengan apa yang dilafazkannya kerana begitu berbimbang dia kepada apa yang dicakapkannya.

Wanita ini mendengar hadis ini.Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid Bin Harithah RA katanya, “Aku dengar Rasulullah SAW bersabda, “Akan didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat kemudian dicampakkan ke dalam neraka. Lalu terkeluarlah isi perutnya dan berpusing lelaki itu dalam neraka seolah-olah keldai memusing kisaran“ Lalu ahli neraka berkumpul kepadanya dan bertanya, “Wahai fulan, mengapakah engkau ini? Tidakkah engkau dahulu menyuruh kepada kebajikan dan melarang daripada kemungkaran?” Jawabnya, “ Ya, aku menyeru kepada kebajikan tetapi aku tidak mengerjakannya dan melarang daripada kemungkaran tetapi aku mengerjakannya”. (Bukhari dan Muslim)

Nak ajak pembaca mengambil iktibar.Memang baik kita berpesan dan mengajak kepada kebaikan tetapi banyak orang menamatkanya setakat itu sedangkan pada sisi Allah setiap perkataan kita akan dituntut dan diperkira.Jika kata buruk,menjadi dosa,jika kata baik,menjadi pahala tetapi jika kata itu menyuruh kepada kebaikan,kita dituntut melakukan,jangan cakap saja tapi tak buat,tak serupa bikin.Begitu juga orang yang melarang mungkar,jangan dia sendiri melakukannya.

Jadi jika kita telah tidak berbuat perkara dosa,buatlah perkara baik dan ajaklah orang berbuat baik.Konsep ini perlu ditunjukkan sebagai contoh ikutan,qudwah hasanah dan inilah yang paling selamat.Berapa ramai orang bercakap suruh bantu anak yatim tetapi apa yang mereka buat,berapa ramai orang politik mengajak buat kebaikan tapi bagaimana dirinya?Ada ustaz berceramah bagai nak runtuh pentas nak tegak hukum Islam tetapi dalam kereta tewas dengan sebatang rokok yang hukumnya haram.

Jom kita lihat diri kita.Apa yang kita pesan dan ajak orang,pastikan kita buat.Jangan hanya seronok memetik kata-kata mengajak berbuat baik dan 'paste' pada wall fb,tapi kita masih ditahap itu juga.Betul anda telah berbuat baik tetapi periksalah,adakah aku dah buat perkara ini.Mutakhir ini banyak orang suka bagi petua baca ayat ini,dapat itu ini,sebut kalimat ini seribu kali dapat itu ini.Tanya diri,kita dah buat ka?Kekadang yang bagi petua tu pun tak buat sebab itu mereka ibarat penilik nasib yang menilik nasib orang tetapi nasib sendiri di kaki lima.Ustaz yang bagi petua murah rezeki pun hidup kais pagi makan pagi.Sebab itu,jangan pandai cakap saja tapi yang lebih baik harus pandai buat.Setiap kata yang terbit dari lidah kita pastikan kita telah buat.

Jika anak tidak mendengar kata,semaklah diri kita sebagai ibubapa,apakah kita berbuat perkara kebaikan seperti yang diharap kepada anak.Jika percakapan kita di pejabat tidak diendahkan,semaklah diri kita,apakah kita telah buat apa yang dikata.Jika jadi pemimpin yang sentiasa mengajak berbuat baik,pastikan diri telah berbuat baik.Jika kita hendak orang mudah mengikut kita dan mendengar saranan kita,bukan terletak pada kehebatan rupa dan petahnya berkata-kata tetapi hakikatnya terletak pada sifat kita yang cakap serupa bikin.

Wallahu'alam

abdghaniharon

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...