Friday, March 9, 2018

Husam tak sabar nak sapina Datuk Amar



Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Husam Musa mengalu-alukan kesemua lima saman yang bakal diterimanya ekoran dakwaannya terhadap kerajaan Kelantan.

Beliau berkata setiap dakwaannya berdasarkan dokumen rasmi kerajaan negeri - sebahagian menurutnya dilindungi - dan perbicaraan mahkamah akan membolehkan rakyat Kelantan mengetahui keadaan sebenar.

"Semua yang berkaitan berpeluang untuk didedahkan, termasuk membawa menteri besar, timbalan menteri besar, exco dan pihak terlibat untuk memberi keterangan di mahkamah.

"Saya akan sapina (panggil ke mahkamah) mereka, termasuk Datuk Mohd Amar (Nik Abdullah). Saya harap Datuk Amar tidak melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohd Amar (gambar) bahawa kerajaan negeri dan anak syarikatnya akan menyaman Husam yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak tapat dalam isu air dan penerokaan tanah negeri, dengan terbaru berkenaan tender Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).



“Ini saya nak maklum, kalau ada orang AMANAH sini tolong maklumkan kepada encik Husam, kita ada lima saman menanti dia," katanya yang juga menteri besar Kelantan dalam ceramah di Kota Bharu semalam, seperti dipetik Astro Awani.

Husam mempersoalkan mengapa kerajaan negeri hanya memfailkan lima saman sedangkan beliau telah membuat banyak kenyataan berhubung salah urus tadbir dan dasar kerajaan negeri yang merugikan Kelantan.

"Adakah ini bermakna mereka akui kenyataan saya yang lain adalah benar?" soalnya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor.

Dakwaan terbaru Husam berkenaan pemberian tender projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa II bernilai RM27.1 juta kepada syarikat yang belum wujud, yang dinafikan AKSB yang berkata syarikat usaha sama penerima tender hanya “menukar nama”.

Pada 4 Julai lalu pula, Husam mendakwa kerajaan negeri memeterai perjanjian melibatkan 1 juta ekar tanah hutan simpan dengan syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan Bank Negara.

Husam yang merupakan bekas naib presiden PAS berkata beliau akan mengedarkan afidavit jawapannya di mahkamah nanti kepada orang ramai sebagai penjelasan kepada mereka tentang isu berkaitan.

"Saya berharap kerajaan negeri tidak akan membantahnya nanti," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...