Tuesday, March 6, 2018

Kes yang menggegarkan Low Yat 2015 : Pemuda lega rayuan akhir dibenarkan

Pelajar tahfiz lega rayuan akhir dibenarkan
PUTRAJAYA - Seorang penganggur yang sebelum ini didakwa mencuri telefon sebuah bimbit di Plaza Low Yat, tiga tahun lalu lega apabila rayuan akhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman empat bulan penjara serta denda dibenarkan.

Shahrul Anuar Abdul Aziz yang kini pelajar pusat tahfiz di Bukit Beruntung, Rawang hadir memakai jubah putih dan serban kelihatan meraup wajahnya di dalam kandang selepas prosiding berakhir.

Terdahulu, tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Mohtarudin Baki sebulat suara membuat keputusan itu sekali gus menolak rayuan silang pendakwaan untuk menaikkan hukuman.

Dalam keputusan itu, Mokhtaruddin berkata, majistret sebelum ini telah tersalah arah dari segi undang-undang.

"Dalam nota keterangan beliau menyatakan mengenai prima facie, tetapi dalam alasan penghakiman, pemahaman mengenai prima facie adalah berbeza," katanya.

Menurutnya, majistret telah meminta pembelaan untuk menyangkal kes pendakwaan walhal tanggungjawab pembelaan hanyalah untuk menimbulkan keraguan munasabah sahaja.



"Dengan itu rayuan terhadap sabitan dibenarkan dan hukuman diganti dengan perintah lepas bebas. Rayuan pendakwaan gugur dengan sendiri," katanya.

Bagaimanapun Mohtaruddin berkata, mahkamah percaya dan mempunyai alasan Shahrul Anuar,25, melakukan perbuatan itu.

"Nasihat saya, kalau awak buat, awak taubat. Kalau awak tak buat, anggaplah ini sebagai ujian ALLAH Taala," katanya.

Pada 24 Mei 2016, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 selepas disabitkan dengan kesalahan itu.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu didapati bersalah mencuri telefon bimbit Lenovo S860 berharga RM800 yang berada bawah jagaan See Ming Ho, di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang, jam 4.47 petang, pada 11 Julai 2015.

Mahkamah tinggi turut mengekalkan keputusan itu selepas menolak rayuan Shahrul Anuar pada 5 April 2017.

Shahrul Anuar diwakili peguam, Datuk Shaharudin Ali manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...