Sunday, March 4, 2018

Kesal dengan kenyataan Mahdzir Khalid supaya guru tidak menyokong pembangkang.

 Mahdzir Khalid
ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang seolah memberi amaran kepada guru supaya tidak menyokong pembangkang.

Timbalan Ketuanya, Nurul Amin Hamid berkata, kenyataan itu memperlihatkan sikap naif menteri berkaitan selain suatu penghinaan kepada guru yang dianggap golongan terpelajar.

“Kita kesal dan sedih apabila Mahdzir mengeluarkan kenyataan berunsur amaran kepada guru-guru agar tidak menyokong pembangkang. Kenyataan itu jelas menghina guru kerana guru juga mempunyai hak memilih dan menyokong mana-mana parti di Malaysia, seperti termaktub dalam perlembagaan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, kedudukan guru yang mulia sebagai pendidik anak bangsa seolah dipolitikkan oleh Mahdzir yang dilihat panik memandangkan PRU14 semakin hampir.

“Kami ingin ajak guru-guru agar terus beri khidmat secara profesional dan konsisten selain berusaha mencapai indeks prestasi pendidikan yang tinggi. Diharap semua guru mengamalkan budaya pendidikan matang dan sejahtera selain tidak terancam dengan amaran terbabit,” katanya.

Nurul Amin turut menyifatkan tindakan Mahdzir sebagai tidak profesional.

Dalam kenyataannya di Sabah, Khamis lalu, Mahdzir mahu guru sekolah menyokong kerajaan dan bukan menunjukkan ‘sikap melampau’ dengan memperlihatkan mereka propembangkang kerana didakwa melanggar tata etika sebagai penjawat awam.

Mahdzir turut tegaskan masih terdapat segelintir guru yang menunjukkan diri mereka di laman Facebook sebagai propembangkang secara keterlaluan dan sepatutnya tidak berlaku.

Malah, beliau turut mengingatkan bahawa sikap keterlaluan dan ekstrem dalam menunjukkan diri mereka propembangkang boleh dikenakan tindakan bergantung kepada keseriusan kes.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...