Sunday, March 11, 2018

Manifesto PH: Tonjolkan kesungguhan pembangkang ambil alih Putrajaya


Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan semalam membawa seribu satu iltizam dan kesungguhan pakatan pembangkang untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Ia juga membuktikan keseriusan PH melalui kerjasama yang semakin utuh serta perpaduan kukuh demi untuk membela nasib rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

“Manifesto tersebut mempamirkan satu komitmen jitu oleh PH dalam persediaan untuk menerajui pemerintahan negara.

“Tiada lagi manifesto persendirian oleh mana-mana komponen parti serta merupakan elemen penting bagi mendapat keyakinan rakyat.


“Walaupun PH adalah gabungan yang baru berputik, namun begitu ia adalah sebuah gabungan yang cukup matang kerana dipimpin oleh mereka yang benar-benar komited dengan agenda reformasi, ” jelasnya.

Malah ujarnya lagi, legasi bekas Presiden Pas, Dato’ Fadzil Noor bahawa perpaduan gabungan pembangkang adalah kunci utama kejatuhan pentadbiran zalim Umno-BN perlu diteruskan.

Tegasnya, Buku Harapan yang sarat dengan penyelesaian masalah rakyat bukanlah suatu fantasi dongeng, sebaliknya realiti yang mampu direalisasikan janji-janji tersebut.

“PH mampu untuk menunaikan apa yang terkandung dalam Buku Harapan kerana tiada lagi ketirisan wang ke poket peribadi pemimpin tetapi ke poket rakyat yang dahagakan pembelaan.

“Ini juga adalah sebuah manifestasi demokrasi yang matang demi membela nasib rakyat.

“Rakyat boleh meneliti dan membuat pilihan serta justifikasi dengan apa yang dijanjikan dalam Buku Harapan tersebut.

“Samada BN atau pun PH, rakyat mampu membuat pilihan melalui tawaran yang dapat menyelesaikan pelbagai permasalahan mereka, ” tambahnya lagi.

Kata Faiz lagi, peluang yang diberikan kali ini harus dijadikan perhitungan yang tepat serta digunakan dengan sebaik mungkin oleh rakyat.

“Rakyat mesti gunakan hak mengundi dengan sebaik-baiknya demi perubahan hidup dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

“Pemerintahan Najib dan BN kini telah menyebabkan rakyat terbeban dan terseksa dengan melampau.

“Samada mahu atau tidak, kuasa yang ada pada BN tidak lagi boleh dikekalkan serta PH mesti diberi ruang bagi memerintah dalam pilihan raya umum ke 14 nanti, ” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...