Thursday, March 15, 2018

Mujahid tarik balik saman jika Kamarul mohon maaf


Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bersedia menarik balik samannya terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff jika beliau memohon maaf.

Ia berkaitan status Facebook dimuat naik Kamarul Zaman pada 25 Mei tahun lalu bertajuk “Dr Mujahid antara kuda tunggangan terbaik DAP”.

Perkara itu dikemukakan dalam proses mediasi antara Mujahid dan Kamarul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Dr Mujahid menuntut Dr Kamarulzaman memohon maaf atas artikelnya yang telah menjatuhkan reputasi beliau sebagai tokoh masyarakat, tokoh agama dan ahli Parlimen.

“Jika beliau bersedia untuk memohon maaf kepada Dr Mujahid, pihak kami bersedia tarik balik saman kepadanya.

“Dr Mujahid juga menuntut permohonan maaf dibuat dalam Facebook sebagaimana beliau telah memfitnah Dr Mujahid dalam Facebook yang dibaca oleh orang awam,” kata peguam Mujahid, Mohd Fitri Asmuni melalui kenyataannya hari ini.


Kata Mohd Fitri, pegawai mediasi turut memberi ruang kepada Kamarul untuk menerima tawaran Mujahid.

Bagaimanapun Kamarul enggan menerimanya namun pegawai mediasi itu tetap memberi tempoh sehingga April untuk Kamarul berbuat demikian.

Sebelum ini Kamarul Zaman mendakwa buku tulisan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh bertajuk Hannah - A Personal Journey cuba memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang ramai supaya menganut atau cenderung kepada Kristian.

Kenyataan Kamarul Zaman itu mengundang banyak kritikan, termasuk daripada Mujahid. Kamarul kemudian membuat laporan polis terhadap Yeoh.

Namun pada 24 Mei tahun lalu Mujahid berkata beliau telah membaca buku tulisan Yeoh namun mendapati kandungannya mempunyai persamaan dengan naskhah yang ditulisnya pada 2010, Aren't We All Malaysian.

Katanya, beliau memilih subjek lain untuk menyatakan pandangannya manakala Yeoh memilih tema ketuhanan.

Pada masa sama Mujahid berkata beliau tidak menemui sebarang unsur yang boleh membawa seseorang Muslim murtad seperti didakwa Kamarul Zaman.

"Sebaliknya selepas membaca buku itu saya menjadi Muslim yang lebih baik," kata Mujahid.

Susulan dari kenyataan Mujahid itu, Kamarul memuat naik status yang menuduhnya sebagai kuda tunggangan DAP.

Berikutan daripada itu, Mujahid memutuskan untuk mengambil tindakan saman RM5 juta terhadap Kamarul.

Kamarul: Mujahid 'berjiwa besar'

Sementara itu posting Kamarul di Facebook hari ini menyifatkan Mujahid sebagai “berjiwa besar” kerana sedia menarik balik saman itu.

“Berbesar hati dengan jiwa besar beliau yang bersedia menarik balik saman RM5 juta beliau terhadap saya kerana mendakwa beliau kuda tunggangan DAP.

“Walaupun hati saya berat untuk meneruskan saman balas RM5 juta saya terhadap beliau tetapi saya berjanji akan mempertimbangkan tawaran beliau itu.

“Terima kasih atas tawaran ini, Dr Mujahid,” katanya.

Mengulas perkara itu Mohd Fitri berkata bukan isu untuk Mujahid “berjiwa besar” untuk menarik saman itu sebaliknya ia adalah bebanan kepada Kamarul untuk memohon maaf.

“Kenyataan dalam posting Dr Kamarulzaman jelas telah 'memutar' hakikat sebenarnya.

“Bagi pihak Dr Mujahid, beliau berasa kesal atas sikap manusia yang suka memutarbelitkan fakta, tidak hairanlah tulisan datang dari manusia sebegini sangat tidak bermoral dan tidak bernilai,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...