Sunday, March 18, 2018

Nakhaie akui dekati Pas, mahu satukan idea demi agama, bangsa dan negara

Nakhaie akui dekati Pas, mahu satukan idea demi agama, bangsa dan negara
“Dulu saya sudah menyumbang kepada Umno, apa salahnya jika saya kembali menyumbang buah fikiran kepada Pas untuk kebaikan umat Islam?”

Demikian pandangan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad ketika ditanya mengenai kemunculannya di pentas ceramah Pas sebuah parti yang pernah didokonginya, sebelum mengambil keputusan menyertai Umno pada 1989 dan kemudian mengumumkan keluar Umno pada Ogos 2014.

Nakhaie berkata, beliau tidak menghiraukan apa tafsiran orang lain terhadap keputusannya kembali ‘mendekati’ Pas ketika ini.

“Tafsiran orang itu terpulang kepada mereka. Saya fikir kalau mahu menyumbang kepada Pas untuk kebaikan,apa salahnya kerana ahli Pas itu orang Islam.

“Sumbangan saya dengan memberikan ide bagaimana mereka boleh jadi kuat, bersatu dan menjadi pemimpin yang positif dalam memperjuangan umat.

“Saya ada sedikit pengalaman dan mahu menyumbangkan pengalaman itu kepada mereka,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.



Nakhaie ketika di dalam Umno tidak diberikan jawatan politik sebaliknya dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang disifatkannya sebagai ‘mencukupi’ dalam memberikan sumbangannya kepada Umno.

“Banyak yang saya sumbangkan ketika bersama Yadim di dalam negara dan luar negara bahkan Yadim telah mengislamkan beribu orang.

“Apa salahnya saya mendekati Pas, bahkan saya telah nyatakan secara terang, dalam Pilihan Raya ke-14 kali ini, saya tidak akan undi Umno,” ujarnya yang kini lebih aktif bergiat dalam gerakan Majlis Dakwah Negara (MDN) di bawah Kluster Perpaduan Ummah.

MDN adalah sebuah kumpulan penggerak dikalangan cendiakawan, profesional dan pemimpin politik ke arah usaha penyatuan Melayu dan umat Islam di negara ini melangkaui partisan yang diasaskan oleh Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Nakhaie berterus terang mengatakan beliau kini lebih senang dengan melaksanakan gerakan dakwah tanpa terikat dengan mana-mana parti.

Ditanya adakah beliau berhasrat untuk kembali kepada Pas, bekas Naib Presiden Pas ini enggan menyatakan pendiriannya buat masa ini.

“Saya masih lagi berminat kepada pendekatan dakwah. Sama ada saya akan masuk parti (Pas) atau tidak, saya akan tentukan nanti- sebelum pilihan raya,” ujarnya yang memberitahu akan membuat makluman rasmi mengenainya.

Antara Pas dan AMANAH

Nakhaie menyertai Pas pada 1977 banyak jawatan disandang ketika di dalam parti,antaranya Setiausaha Agung Pas (1979-1981), Ahli Majlis Syura Ulamak (1987); dua kali dilantik sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat (1983-1984 dan 1987-1988); Naib Presiden (1983-1988), Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan (1985-1988) dan pernah menjadi Ahli Parlimen Baling (1978-1982).

Antara sumbangan besar beliau dalam Pas ialah membawa ide hubungan politik dengan kaum Cina menerusi Chinese Consultative Council (CCC) pada 1985-1986; memberikan nama kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) pada 1985; mengemukakan gagasan tahaluf siyasi (1986) dan mengasaskan akhbar Harakah (1987).

Beliau berpandangan walaupun Pas tidak lagi bertahaluf siyasi bersama PKR dan DAP – Pas dilihatnya masih lagi sebagai sebuah organisasi yang berpengaruh dikalangan rakyat.

Bagi beliau parti serpihan dari Pas seperti AMANAH hanya sebuah parti baharu yang belum tentu mempunyai pengaruh terhadap rakyat.

“Parti-parti baharu (AMANAH dan Bersatu) mereka dilihat lantang bersuara tetapi belum tentu berpengaruh.

“Walaupun Pas berpengaruh ia akan menjadi lebih kuat, jika bersuara lantang yang positif untuk umat.

“Saya fikir isu negatifnya banyak ditimbulkan dikalangan lawan politik Pas. Memanglah lawan Pas akan timbulkan apa saja isu negatif supaya Pas dilihat negatif.

“Menang atau kalah banyak faktor penarik dan penolak yang mempengaruhi setiap parti.

“Tetapi pengaruh dan kekuatan yang dimiliki haruslah dicernakan dengan positif untuk terus kekal berkuasa dan ia amat bergantung kepada kebijaksanaan Pas untuk menangani isu-isu yang menyerang partinya,” ujarnya.

Antara Pas dan Umno

Sesuatu yang dicatatkan di arus perdana politik, mengenai beliau apabila cuba merapatkan ‘hubungan’ Pas dan Umno menerusi satu pakatan dengan ‘Umno Baharu’ selepas Umno yang diasaskan Tunku Abdul Rahman ini diisytiharkan tidak sah pada 1988.

Nakhaie pernah mencadangkan supaya Pas membuat ‘pakatan’ dengan Umno (baharu) pimpinan Tun Dr MahathirMohamad ketika itu sebagai perdana menteri, sedangkan pemimpin Pas cenderung untuk membentuk kerjasama dengan Team B Umno (Semangat 46) yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah.

Bagi Nakhaie ketika ditanya mengenai kerjasama Pas dan Umno yang berlaku hari ini menerusi ‘tahaluf siyasi’ berpendapat sewajarnya kedua parti ini meneruskan kerjasama tersebut.

Pandangannya ialah ‘kerjasama’ itu untuk kepentingan Melayu dan Islam maka semua parti yang mempunyai keahlian orang Melayu dan Islam, sewajarnya juga bekerjasama demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Mana-mana parti yang diterajui pemimpin Islam, tidak salah jika mereka melihat kepentingan bangsa, agama dan negara.

“Pas orang Islam…Umno orang Islam apa salah mereka bekerjasama. Apa salahnya Pas dan Umno bekerjasama dengan Bersatu dan Pakatan Harapan.

“Bahkan apa salahnya jika Pas bekerjasama dengan AMANAH.

“Pas dan Gagasan Sejahtera adalah usaha untuk bersatu demi kebaikan juga dialu-alukan. Adalah lebih baik jadi pakatan bersama untuk menolak kejahatan dan bersatu untuk ke arah kebaikan demi agama bangsa dan negara,” ujarnya.

Hujah beliau pemimpin Melayu dan masyarakat Islam sepatutnya mencari jalan menyatukan parti-parti politik Melayu dan memperkukuhkan agama Islam.

Katanya, api kemarahan kerana disebabkan perbezaan pendapat harus ada batasannya dikalangan pimpinan dan penyokong parti politik.

“Hari ini dilihat dendam kesumat masih ada, jika pun berkelahi biarlah sementara dan selepas berkelahi kembali menjadi rakan.

“Lihatlah bagaimana Dr Mahathir hari ini. Dulu beliau begitu dahsyat membenci DAP hari ini mereka berkawan.

“Adalah terbaik semua parti Melayu bersatu berjuang memajukan orang Islam dan memperkukuhkan agama Islam dan menstabilkan masyarakat dan negara amnya.

“Apa yang pasti saya akan berbicara dengan mereka berdasarkan ilmu dan berdasarkan keadaan dan kehendak Islam dalam kehidupan dan pemerintahan sebuah negara,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...