Monday, April 2, 2018

Dr M tepis tuduhan PH tak mampu laksanakan manifesto

 http://amanahdaily.com/wp-content/uploads/2017/07/harapan-tun-m-anwar.jpg
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menepis dakwaan mengatakan Pakatan Harapan (PH) akui tidak mampu mengotakan manifesto pilihan raya umum ke-14.

Calon perdana menteri PH itu berkata, segala janji yang dibuat menerusi manifesto itu telah dikaji secara mendalam sebelum ditawarkan kepada rakyat.

“Ada benda yang popular tapi kita tak mampu dan kita tak berjanji. Apa yang kita janji dalam manifesto itu kita boleh lakukan.

“Perdana menteri tak boleh buat sebab beliau tidak mampu. Kita boleh buat. Kita bukan macam BN. Mereka guna duit rakyat buat benda lain, kita guna duit untuk kebaikan negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum Cabaran Ekonomi Anak Muda di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilapor mendakwa PH mengaku tidak dapat mengotakan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya mereka.

Najib menjawab laporan akhbar Singapura, Sunday Times, yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata terdapat janji tidak dapat ditunaikan kerana kekangan kewangan.

Dr Mahathir menjelaskan isu yang disentuh itu merujuk kepada janji menghapuskan tol sepenuhnya. Beliau mengakui berasa bimbang penghapusan tol sepenuhnya akan membantutkan pembangunan jalan raya.

“Saya cakap berkenaan dengan tol, kerana ada di antara kita ada sedikit kelainan pendapat,” katanya.

“Saya mempunyai pengalaman berkenaan dengan tol jadi tak boleh buat janji. Kalau tak ada tol kita tak boleh mengurus struktur jalan, kita tak boleh luaskan jalan.

“Kalau nak buat jalan baru, kita suruh syarikat swasta buat projek, mereka tak akan buat melainkan mereka dapat pulangan. Itu yang menyebabkan saya khuatir,” katanya.

PH melancarkan manifesto pilihan rayanya pada 8 Mac lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Tiada pendidikan percuma

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata Pakatan Harapan tidak menawarkan pendidikan percuma kerana bimbang rakyat akan mensia-siakan bantuan itu.

“Benda ‘free’ ini selalunya tidak ada harga. Saya biasa tengok kalau orang dapat makanan percuma dibuang sebab percuma. Percayalah majoriti tak akan belajar kalau beri pendidikan percuma, mereka tak akan anggap itu sebagai penting,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan rakyat di Jerman, yang juga menawarkan pendidikan percuma.

“Di German lain mereka tekun tapi kita akan cari jalan mudah untuk belajar. Sebab itu PH tidak bercadang untuk beri pendidikan percuma,” katanya.

Namun begitu, Dr Mahathir berkata PH akan menambah bilangan biasiswa untuk membantu rakyat yang mempunyai kesungguhan untuk belajar.

“Kita akan tambah bilangan biasiswa di semua peringkat kerana Najib sudah kurangkan biasiswa.

“Kalau rakyat rasa pendidikan penting, mereka akan kejar benda itu dan kita akan bantu mereka untuk capai kelulusan lebih tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...