Sunday, April 15, 2018

Mahathir sah bertanding di Langkawi

PRU14 | Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam ini mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding sebagai calon parlimen Langkawi.

"Dengan bangga, dengan doa kemenangan berpihak kepada kami, saya umumkan Dr Mahathir sebagai calon Langkawi," katanya kepada kira-kira 5,000 hadirin ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di pulau itu.

Terdahulu, Dr Mahathir mengumumkan senarai calon BERSATU untuk dewan undangan negeri dan parlimen di Kedah, namun tidak menyebut Langkawi.

Orang ramai yang hadir kemudian bersorak "Langkawi! Langkawi!" ketika Dr Mahathir kembali ke tempat duduknya.

Wan Azizah kemudian mengambil alih pentas berkongsi kisah yang diceritakan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang Dr Mahathir yang mempunyai sentimen istimewa terhadap Langkawi.

"Anwar pernah beritahu saya, Dr Mahathir agak sentimental dengan Langkawi. Di sinilah dia mula bertugas sebagai doktor kerajaan dan bertekad membantu pulau ini," katanya.

Wan Azizah menjelaskan lebih lanjut sumbangan Dr Mahathir kepada Langkawi meski selepas beliau menjadi perdana menteri.

Pengumuman itu mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...