Sunday, April 22, 2018

‘Mengapa Mahathir’ jelaskan keutamaan untuk selamatkan negara

ABU ASHRAF

‘Mengapa Mahathir’ jelaskan keutamaan untuk selamatkan negara
Mendekati Pilihan Raya Umum ke-14, kekeliruan sebenarnya masih pekat menguasai minda sesetengah peminat politik dan pengundi.

Ahmad Lutfi Othman yang uzur juga tidak betah berdiam diri untuk menulis bahan bacaan sebagai pengukuh kepada kempen Pakatan Harapan.

Lutfi menyusun bacaan penting yang boleh dirujuk untuk menangani kekeliruan dalam kalangan pengundi.

Buku terbarunya berjudul Mengapa Mahathir? Dengan tajuk kecil, dan impian Pas menjadi kingmaker dalam PRU14. Booklet ini diterbitkan sebulan selepas beliau menyiapkan buku setebal 525 halaman, berkaitan Parti Amanah Negara.

Lutfi tahu dalam kalangan rakyat, ada yang masih keliru, tidak tahu siapa harus diundi. Mengundi Barisan Nasioanal bermakna mengekalkan penindasan dan pembodohan ke atas rakyat lagi lima tahun.

Mengundi Pas pula seperti menghantar pasu bunga yang tidak pasti apa yang mahu diperjuangkan melainkan agenda Islam dalam kerangka yang cukup sempit.

Dan jika mengundi Pakatan Harapan, bermakna mereka mahu berketuakan seorang ‘diktator’ tua yang pernah menerajui kepimpinan negara selama 22 tahun dahulu.


Sesetengahnya kelompok yang baru ‘bangun tidur’ pula memilih untuk membuat ‘undi rosak’ sebagai langkah terbaik walaupun ia langsung tidak menyelesaikan masalah.

Ya, bukan masalah yang mahu diselesaikan tetapi sebagai satu petunjuk kebencian dan kebosanan mereka menghadap drama politik setiap hari.

Tetapi mengapa Tun Dr Mahathir Mohamad? Mengapa dia pula yang mahu diangkat sebagai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan? Adakah blok politik pembangkang ini sudah ketandusan pemimpin?

Tun Mahathir Mohamad diberikan naskah buku “Mengapa Mahathir?”.

Persoalan seperti ini memang valid untuk difikirkan. Tetapi harus digabungkan dengan realpolitik Malaysia yang sukar dibentuk agenda yang idealistik.

Agenda idealistik sudah lama kita bincangkan. Mahu sungai yang tidak tercemar, alam sekitar yang terpelihara, kebersihan yang first class, pengangkutan awam yang menepati waktu, efisyen dan sebagainya.

Tetapi realitinya, itu semua seperti belum mampu kita capai. Maka jika dibawa dalam politik, perlu kita tangani persoalan ini dengan cara realpolitik juga.

Tiada masalah untuk Pakatan Harapan meletakkan seorang calon muda sebagai Perdana Menteri. Namakan sahaja siapa seperti Azmin Ali, Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar dan seterusnya.

Adakah faktor umur muda dan faktor ‘wow’ yang ada pada mereka boleh menarik undi secara meluas? Kalau di kawasan bandar, mungkin ya. Tetapi bagaimana pula di kawasan kampung, penempatan Felda dan pedalaman?

PRU14 ini cukup genting dan penting untuk memastikan pemerintahan kleptokrasi ditamatkan. Malangnya pangkalan politik yang menjadi ‘fixed deposit’ kleptokrasi kebanyakannya adalah di kawasan kampung dan luar bandar. Kawasan yang mana pemikiran mereka lebih pekat sama ada biru tua atau hijau tuanya.

Maka dari sinilah Pakatan Harapan mengambil langkah kritikal dengan mencalonkan Mahathir kerana pelbagai faktor dan kekuatan yang dia miliki.

Pengalaman mentadbir, kuasa pengaruh yang masih kuat dalam kalangan orang Melayu baik di bandar dan kampung yang mana telah kita saksikan kebanjiran hadirin dalam setiap ceramah yang dihadiri Mahathir di kawasan-kawasan ‘Malay belt’.

Dalam kalangan masyarakat Cina juga, Mahathir masih berpengaruh. Penulis teringat satu dialog ringkas di sebuah kedai kasut di Muar. Tuan kedai itu mengeluh tentang kenaikan kos sara hidup serta GST yang menjejaskan perniagaannya.

Secara sindiran gurau, penulis berkata itulah balasannya bila orang Muar masih mengundi BN. Cepat dia membantah. Dia mengakui menyokong pembangkang. Malah dengan kehadiran Mahathir dalam Pakatan Harapan, sokongan dia bertambah kuat.

Memang tidak mudah juga untuk meletakkan Mahathir sebagai peneraju Pakatan Harapan. Bukan sahaja kalangan BN yang mula membuka ketempangan Mahathir sepanjang pentadbirannya, malah Pas juga dengan senang hati mengejek dan menyindir langkah Pakatan Harapan itu.

Sebenarnya itulah masalahnya dengan BN khususnya Umno. Sokongan mereka kepada pemimpin sering dibuat secara membuta tuli. Tatkala pembangkang mendedahkan salah laku, dengan mudah mereka menafikan dan menutup skandal itu.

Tetapi sekarang, Umno dengan jenteranya jugalah yang gigih mencari semula bukti-bukti itu untuk ditayangkan semula di Buletin Utama dan di akhbar-akhbar mereka.

Ahmad Lutfi memberitahu, sebelum ini, ada pihak yang rapat sebuah dengan jentera kempen BN menghubungi saudaranya dan menawarkan sejumlah dana untuk menerbitkan semula tulisannya yang pernah mengkritik keras pentadbiran Mahathir.

Begitulah terdesaknya Umno untuk memastikan Mahathir dan Pakatan Harapan gagal dalam usahanya merampas pentadbiran Putrajaya.

Mungkin ada yang berkata, kalau begitu buruk pentadbiran Mahathir, mengapa pula Pakatan Harapan bersusah payah mengangkat semula dia dan terpaksa mencuci semula kebusukan yang pernah dia lakukan dahulu?

Sekiranya kita ikuti ceramah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam siri kempen Pakatan Harapan. Tidak pernah sekalipun dia melupakan apa yang pernah ‘musuh ketat’nya itu lakukan. Mat Sabu pernah dipenjarakan, disumbat dalam ISA, dibuang daerah dan sebagainya.

Tetapi, seperti yang Mat Sabu kata, dendam lama tidak boleh menyelesaikan masalah. Apa yang penting adalah masalah sekarang yang perlu segera ditangani bersama.

Itulah keutamaan yang lebih utama yang perlu diambil semua pihak ketika ini!

Anwar Ibrahim yang lebih teruk menghadapi tekanan politik oleh Mahathir dahulu pun berjiwa besar dan sanggup menjalinkan kerjasama untuk menyelamatkan maruah Malaysia ketika ini yang semakin menjunam.

Benar, sukar sekali menguruskan persepsi negatif terhadap Mahathir ketika ini tetapi seperti yang kita ketahui dan maklum, Mahathir juga bersedia menjawab semua tuduhan yang ditujukan terhadap beliau.

Tetapi pernahkah kita bertemu seorang tua berumur lebih 90 tahun masih sanggup pusing seluruh negara sehingga lewat malam untuk berceramah dan berkempen supaya BN dijatuhkan?

Dari manakah datangnya kekuatan seteguh ini untuk seorang lelaki tua itu jikalau bukan disebabkan sikap patriotiknya menyelamatkan negara.

Dalam pada kita mengutuk Mahathir, satu perkara yang harus kita bersetuju adalah kejayaannya mengangkat dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia dahulu.

Sikap patriotik inilah yang membolehkan beliau dianggap jurucakap dunia ketiga ketika dunia Arab masih segan silu mengkritik kuasa besar dunia secara terbuka.

Benar, ada yang menyindir dan menyamakan Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri dengan beberapa bekas Presiden di negara-negara Afrika.

Tetapi cuba buat perbandingan antara pentadbiran Mahathir dan bekas Presiden di negara Afrika itu, siapakah yang lebih cemerlang pentadbirannya? Adakah sama? Cubalah kaji sendiri.

Beginilah politik mengajar kita. Adakalanya sikap pragmatik perlu diambil bukan kerana menjual prinsip tetapi kerana berhadapan situasi yang perlu ditangani dengan berhati-hati dan bijak.

Seperti yang pernah disebut oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kira-kira begini ayatnya, “semua masalah yang berlaku dalam negara ini semasa pemimpinnya dalam BN”.

Maka langkah Mahathir menamatkan pentadbiran BN itu adalah tepat supaya sarang kerosakan negara ini boleh dihapuskan segera.

Lutfi dalam buku ini juga berkali-kali mengingatkan, beliau tidak bertujuan untuk menyucikan Mahathir daripada kesilapan dan dosa masa lampaunya, tetapi kita harus memandang ke hadapan, dan memberi peluang buat Mahathir bersama membina semula negara, dengan rakan-rakannya yang baru, Pakatan Harapan. Komitmen mereka untuk membawa pembaharuan dan reformasi harus dialu-alukan.

Selesai pada persoalan mengapa Mahathir, sekarang kita beralih pula pada sikap ambisi Pas untuk menjadi ‘Kingmaker’ (kuasa penentu) dalam PRU kali ini.

Umumnya kita maklum betapa PAS tidak pernah mencapai kemenangan yang besar sepanjang bergelar pembangkang kecuali apabila mereka bergabung dengan parti-parti politik yang lain di bawah satu jenama.

Rekod itu boleh dirujuk di banyak tulisan dan buku politik. Kalangan ahli Pas termasuklah pemimpinnya sekarang berulang kali meletakkan petikan kata almarhum Ustaz Fadzil Noor yang berdoa supaya Mahathir dipanjangkan umur untuk melihat kerosakan yang dilakukan.

Alhamdulillah, doa itu termakbul. Tetapi selepas melihat kerosakan itu, Mahathir pula tidak berdiam diri. Dengan sisa kekuatan yang ada, dia bangkit melawan rejim kleptokrasi Najib Razak.

Dan itu jugalah ‘taubat’ yang perlu Mahathir lakukan. Bukan mengikut pesan Nik Mohamad Abduh supaya bertaubat di atas tikar sejadah. Lihatlah betapa sempitnya golongan asatizah Pas memahami konsep taubat.

Nafsu Pas untuk menjadi kingmaker ini agak spontan dan menggamit takbir para penyokongnya walaupun mereka sendiri tidak pasti bagaimana cara mencapai ‘status’ itu.

Tetapi satu hal yang pasti, Pas yang dahulunya lantang mengkritik Umno-BN mula memilih sikap ‘matang dan sejahtera’ secara terpilih terhadap bekas musuh tradisinya itu.

Untuk Pakatan Harapan, tiada kesejahteraan yang ditawarkan melainkan label-label negatif seperti pengkhianat, penghina Islam dan sebagainya.

Pas sekarang memang agak aneh gelagatnya. Ingin menjadi penasihat kerajaan, kingmaker seterusnya menyatakan jumlah kerusi yang mahu ditandingi, sehingga sekarang berubah-ubah bilangannya.

Berpatah balik dengan imej konservatifnya, Pas mula menjual dan mencanang syurga, neraka, dosa, pahala dengan sewenang-wenangnya pada harga yang cukup murah.

Pas cukup bijak menunggang semangat ahlinya yang tinggi untuk memartabatkan Islam tetapi jahil memahami ajaran Islam yang sebenar.

Sebab itu kita boleh saksikan hari ini bagaimana di media sosial pengikut dan pemimpin Pas cukup mudah memberi label yang mempunyai implikasi dari segi agama kepada yang tidak sealiran.
Mengikut sikap buruk pemimpin mereka, pengikut Pas juga hari ini cukup ringan menuduh seseorang ikut khadam kafir, ejen asing, munafik, jemaah dhirar dan sebagainya yang berpunca daripada kekeliruan mereka sendiri.

Kekeliruan sama juga semakin membarah sehingga satu peringkat, ada ustaz Pas yang mengutip ibrah Perang Badar secara salah dengan menggambarkan peristiwa sama boleh berlaku PRU ini. Malaikat akan turun dan mengundi Pas.

Beginilah caranya Pas membodohkan pengikutnya dengan merendah-rendahkan imej Islam.

Malanglah sekiranya undi diberikan kepada Pas dan sengsaralah lagi lima tahun jika undi diberi pula kepada BN.

Buku ini boleh dipesan terus kepada Ahmad Luqman Hakim 0192903291. Harga senaskhah RM13. Kemungkinan ia sukar didapati di kedai buku. Justeru, elok membuat pesanan secara dalam talian.

—-
Penulis ialah wartawan politik yang pernah berkhidmat dengan lidah rasmi sebuah parti pembangkang

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...