Thursday, April 5, 2018

Najib umum gula-gula pilihan raya bukan penyelesaian jangka panjang


ARIF ATAN/April 5, 2018 12:55 pm 0

Najib umum gula-gula pilihan raya bukan penyelesaian jangka panjang
Ahli akademik berpendapat pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung sembilan khabar gembira kepada penjawat awam dan pesara kerajaan semalam berunsurkan tindakan politik.

Pensyarah dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pengumuman kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam berkuatkuasa 1 Julai itu boleh menimbulkan persepsi bahawa ia gula-gula pilihan raya.

Menurutnya, ini kerana pengumuman hampir dengan pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan bertujuan meraih undi penjawat awam dan guru.

“Mungkin pengumuman Najib ini ambil kira faktor keluhan penjawat awam yang merasai bebanan peningkatan kos sara hidup, kerana bukan semua mereka menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Jadi ini peluang untuk raih sokongan daripada penjawat awam agar terus mendukung dan memastikan parti kerajaan terus mentadbir negara ini,” dipetik dari Sinar Harian.



Semalam, Najib mengumumkan kenaikan pangkat ‘time-based’, mewujudkan gred lapisan Gred DG56, memanjangkan kewmudahan perubatan kepada ibu bapa pegawai lantikan kontrak warganegara serta kemudahan cuti tanpa rekod maksimum tujuh hari kepada penjawat awam bukan Islam bagi aktiviti keagamaan.

Turut diumumkan sumbangan tahunan kepada Cuepacs sekurang-kurangnya RM3 juta setahun, faedah persaraan, geran khas RM1 juta kepada setiap persatuan pesara serta kuota untuk persatuan pesara kerajaan menunaikan haji bermula tahun ini.

Mengulas lanjut, Dr Awang menyifatkan pengumuman Najib itu dianggap tergesa-gesa kerana menunda Mesyuarat Kabinet semalam kepada esok dan ia di luar kebiasaan kerajaan.

“Pada pandangan saya, ia satu pengumuman bantuan kepada penjawat awam yang berunsurkan tindakan politik kerana beliau tahu isu menangani kos sara hidup dalam kalangan penjawat awam antara isu utama yang dihadapi kumpulan itu.

“Pengumuman kenaikan gaji tahunan (KGT) tersebut mungkin boleh memberi kelegaan kepada penjawat awam tetapi ia bukan langkah penyelesaian jangka panjang dan menyeluruh.

“Sepatutnya kerajaan memikirkan untuk menyelesaikan masalah lebih besar seperti isu kenaikan harga barang yang terus berlaku,” tambahnya lagi.

Ketika tarikh pilihan raya masih teka-teki, Najib Razak dan Timbalannya, Zahid Hamidi dilihat begitu terdesak meraih undi daripada pelbagai segmen rakyat.

Antaranya, menaikkan elaun sukarelawan polis di seluruh negara sebanyak RM2 sejam berkuat kuasa serta merta pada 1 April lalu dan sehari sebelum itu menaikkan elaun anggota lain-lain pangkat dan pegawai Askar Wataniah masing-masing daripada RM6 kepada RM8 dan RM7.80 kepada RM9.80 sejam.

Pada 27 Mac lalu, Najib melancarkan Bantuan Khas Pesawah Peringkat Kebangsaan kepada 325,518 pesawah seluruh negara termasuk pengusaha padi bukit di Sabah dan Sarawak yang akan menerima bantuan RM200 sebulan dalam tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian.

Kerajaan juga pada 11 Mac lalu, mengumumkan kenaikan elaun pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) melibatkan pegawai dari RM7.80 kepada RM9 sejam manakala RM6 kepada RM8 untuk anggota.

Sehari sebelum itu pula, elaun anggota dan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pula dinaikkan daripada RM6 kepada RM9.80 sejam bermula tahun ini.

Siri pengumuman Najib dan Zahid menjelang PRU-14 itu berlaku selepas kerajaan menghapuskan subsidi sejumlah barangan asas seperti beras, gandum, gula dan minyak masak sehingga mengheret rakyat termasuk penjawat awam kepada beban kenaikan melambung harga makanan dan kos sara hidup.

Najib juga muncul sebagai perdana menteri pertama menghapuskan subsidi minyak serta memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 April 2015.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...