Wednesday, June 20, 2018

Ismail Kassim keluar Umno, jadi ADUN bebas

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mengumumkan keluar Umno malam tadi selepas hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.

Ismail yang juga adik kepada Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau kini menjadi ADUN bebas dan membayangkan kemungkinan menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dalam masa terdekat.

"Secara rasminya saya sudah keluar Umno dan BN untuk menjadi wakil rakyat bebas dalam negeri ini.

"Keputusan ini dibuat atas beberapa faktor dan antaranya ialah saya sudah hilang keyakinan kepada pucuk kepemimpinan parti," katanya seperti dilapor Berita Harian.



Ismail berkata, keputusan keluar parti itu mula difikirkan sejak tahun 2008 iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

"Saya perlu memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan perlu untuk menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, maka saya perlu seiringan dengan Kerajaan Pusat," katanya.

Shahidan tak tahu

Ismail berkata keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan Shahidan kerana beliau bukan boneka 'sesiapa'.

"Saya bukan 'puppet' (boneka) dan dia (Shahidan) nak tahu pasal apa?

"Melalui pengumuman ini secara tidak langsung beliau (Shahidan) akan tahu. Saya nak buktikan bahawa soal adik beradik tak timbul dalam politik. Saya berharap dengan keputusan ini semua pihak dapat menerima dengan lapang dada," katanya.

Ismail menyertai Umno sejak 30 tahun lalu ketika berusia 28 tahun dan pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Perlis, Ketua Pemuda Umno Bahagian Arau dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Arau.

Pada PRU-14, Ismail mengekalkan kemenangan BN di DUN Tambun Tulang dan namanya antara yang dicalonkan untuk menjadi Menteri Besar Perlis oleh abangnya.

Bagaimanapun Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tidak memberikan perkenan baginda dan memilih ADUN Bintong, Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.

1 comment:

  1. Tak payahlah masuk PPBM, buat menyampah saja. Nanti bawa budaya cantas mencantas, merebut kuasa dan lain2. Biar PPBM sentiasa bersih.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...