Monday, June 4, 2018

Lantikan Panglima ATM - Kementerian siasat dakwaan maklumat bocor

Kementerian Pertahanan akan melakukan siasatan berhubung dakwaan kononnya terdapat kebocoran dokumen sulit berhubung pelantikan dan kenaikan pangkat pegawai kanan tentera seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata siasatan akan dijalankan oleh Cawangan Provos Marsyal, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) – Bahagian Perkhidmatan Anggota bagi menyiasat kesahihan dakwaan tersebut.

"Sekiranya dakwaan berkenaan terbukti benar, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang.

"Kementerian Pertahanan mengambil serius akan dakwaan berlaku kebocoran dokumen sulit berhubung pelantikan dan kenaikan pangkat pegawai kanan tentera seperti disiarkan oleh pihak media," katanya dalam satu kenyataan hari ini.



MAT jaga kerahsiaan

Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Angkatan Tentera (MAT) berkata beliau memberi jaminan bahawa setiap mesyuarat yang dilaksanakan akan menitikberatkan pemeliharaan yang tinggi terhadap aspek kerahsiaan serta segala perkara yang dibincang dan diputuskan.

"Saya difahamkan bahawa perihal menjaga kerahsiaan ini telah diamalkan sejak MAT ditubuhkan lagi. Selain itu, pihak kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketirisan dan kebocoran maklumat sulit sekiranya ada," katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji menggesa Kementerian Pertahanan menyiasat kebocoran dokumen sulit berhubung pelantikan pegawai kanan tentera seperti yang dilaporkan akhbar.

Mohamed Arshad berkata kebocoran maklumat itu yang turut menyatakan tentang kemungkinan pelantikan bekas Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu melanggar kerahsiaan dokumen Majlis MAT.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...