Saturday, June 2, 2018

Pas tetap pendirian di Kedah iaitu menawarkan kerajaan gabungan

Pas tetap pendirian di Kedah

ALOR SETAR - Pas seboleh-bolehnya mahu elak berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana ia dikhuatiri mengakibatkan kerugian kepada rakyat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, disebabkan itu Pas menawarkan kerajaan gabungan melibatkan Pas, Pakatan Harapan (Harapan) dan BN di Kedah.

Menurut beliau, tawaran berkenaan disuarakan kepada Harapan Kedah demi mengelakkan berlaku PRN berikutan isu pelantikan Speaker Dun Kedah yang belum selesai.

“Kita seboleh mungkin cuba untuk mengelakkan PRN dari berlaku dengan menawarkan kerajaan perpaduan untuk Pas, Harapan dan BN di Kedah.

“Apa yang kita lihat, penubuhan kerajaan perpaduan sahaja satu jalan keluar yang ada untuk elak PRN, namun kita siap sedia hadapi PRN jikalau mereka tidak terima,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, Pas ingin mengelakkan PRN berikutan rakyat baru selesai mengundi dalam PRU14, malah kos pilihan raya dijangka menelan belanja besar.

Katanya, pihaknya sedia untuk menghadapi PRN jikalau itu yang diputuskan, bagaimanapun kini menunggu keputusan berhubung pelantikan speaker.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi dalam ucapannya berkata, Pas bukanlah penyebab jikalau berlakunya PRN di Kedah.

“Jikalau nak berlaku PRN. Nak jadi bukan sebab Pas, tetapi disebabkan mereka kerana kita telah memberi cadangan. Kita tetap dengan pendirian bahawa pelantikan Speaker Dun perlu mengikut kaedah termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri.

“Bagi Pas, PRN bukanlah pilihan. Bagaimanapun, jikalau mereka petik suis, kita akan bangkit siap sedia demi demi kepentingan rakyat,” katanya.

Manakala, Timbalan Pesuruhjaya Pas II, Datuk Najmi Ahmad berkata, kerajaan negeri tidak boleh memaksa Pas untuk menerima calon Speaker Dun dikemukakan mereka.

Disebabkan itu, kata beliau, Pas berlapang dada menawarkan kerajaan perpaduan kepada kerajaan kerana ia dilihat pendekatan terbaik untuk kepentingan rakyat.

“Kita sebolehnya tidak galakkan berlaku PRN kerana ada ruang yang boleh dibincangkan secara tolak ansur berhubung isu Speaker, namun ia mestilah situasi menang-menang untuk kedua pihak,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap Pas Kedah dan BN tidak membantah calon mengisi jawatan Speaker Dun dikemukakan kerajaan bagi mengelakkan krisis pentadbiran hingga membawa kepada PRN.

Beliau berkata, pelantikan jawatan Speaker Dun mengalami kesulitan disebabkan Harapan membentuk kerajaan negeri memperolehi 18 kerusi Dun dalam PRU14, menyamai 18 kerusi diperolehi pembangkang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...