Saturday, June 2, 2018

Pemuda Amanah sokong pembatalan HSR

Faiz Fadzil
SHAH ALAM - Tindakan kerajaan Malaysia membatalkan projek mega, Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura bagi mengurangkan beban hutang negara disambut baik Pemuda Amanah.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil dalam kenyataan media hari ini menyokong penuh pembatalan projek mega itu dan turut meminta kerajaan membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion.

“Projek ini jauh lebih kritikal daripada projek HSR kerana bukan sahaja kosnya terlalu tinggi, tetapi juga melibatkan pinjaman daripada kuasa besar China.

“Beban pinjaman ini akan ditanggung oleh rakyat terutama anak muda dan generasi akan datang, “katanya.

Tambahnya lagi, pemuda Amanah turut menggesa kerajaan menjalankan siasatan rapi terhadap projek ini yang didakwa melebihi kos asal yang dianggarkan sekitar RM30 bilion agar siasatan skandal 1MDB dilakukan dengan mendalam.

“Pemuda Amanah memandang serius dakwaan sebelum ini bahawa lebihan kos projek ini akan dilencongkan bagi tujuan tertentu termasuk membayar hutang 1MDB.

“Jika dakwaan ini benar, ia menimbulkan inferens munasabah bahawa wujudnya unsur-unsur fraud atau kontrak tidak sah yang mewajarkan pembatalan di sisi undang-undang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan projek tersebut dan kerajaan hanya perlu membayar pampasan sekitar RM500 juta berbanding kos asal sebagai usaha mengurangkan hutang negara lebih RM1 trilion yang ditinggalkan kerajaan BN.

Faiz yang juga Adun Permatang Pasir berkata, pilihan yang perlu dibuat ke atas projek tersebut adalah berpremiskan prinsip memilih mudarat yang lebih kecil.

“Walaupun terdapat laporan mengatakan hampir RM13 bilion telah dibayar, namun terma tersebut masih boleh dirunding semula dan kerajaan mungkin tidak perlu menanggung kesan selepasnya jika projek ini dijalankan seperti yang didakwa.

“Penerusan projek ini bererti rakyat akan menanggung pinjaman sebanyak RM55 bilion sedangkan menurut pendapat Prof Dr Jomo Sundaram bahawa projek ini tidak menguntungkan, “ katanya.

Dalam pada itu, Faiz turut menyifatkan projek tersebut tidak mendatangkan keuntungan kepada golongan muda di negara ini kerana peluang pekerjaan dalam projek ini tidak dinikmati warga tempatan, tetapi warga China.

“Pembatalan projek ini selaras dengan gesaan Pemuda Amanah untuk kerajaan memberikan keutamaan kepada isu peluang pekerjaan.

“Ia penting di mana wang negara boleh dijimatkan bagi digunakan kepada polisi yang boleh menambah peluang pekerjaan, baik kepada golongan mahir dan bukan mahir, “katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...