Friday, July 6, 2018

KATA IDRIS VS KATA ZOLA - LGBT BERDOSA ATAU TIDAK..??

KATA IDRIS VS KATA ZOLA

https://cdn20.patchcdn.com/users/22940811/20180412/012354/styles/T800x600/public/processed_images/rainbow_flag_shutterstock_115334458-1498677586-3056-1523553746-8224.jpg

Kata Idris:
LGBT berdosa, kalau buat juga, dosa dengan Allah. Rasuah berdosa, kalau buat juga, dosa dengan Allah. Dadah berdosa, kalau buat juga, dosa dia dengan Allah. Arak berdosa, kalau buat juga dosa dengan Allah. Zina berdosa, kalau buat juga dosa dia dengan Allah. Judi berdosa, kalau buat juga dosa dia dengan Allah. Mencuri berdosa, kalau buat juga, dosa dengan Allah.

Kata Zola:
1. Memanglah dosa pada asalnya adalah dengan Allah. Dosa dengan manusia juga hakikatnya adalah dengan Allah.

2. Mencegah dosa, mengelak dosa dan bertaubat apabila berdosa adalah wajib sama ada pendosa dihukum dengan kesalahannya di dunia atau tidak.

3. Perlu dibezakan antara dosa dan jenayah. Dosa, ada yang menjadi jenayah dan ada yang tidak menjadi jenayah.

4. Tinggal solat adalah dosa tapi bukan jenayah sebab tinggal solat tidak dikanunkan sebagai jenayah dalam undang-undang.

5. Dosa yang tidak dikanunkan sebagai jenayah (tidak solat misalnya) jika dibuat secara terbuka sekalipun, tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang walaupun ia mungkar dan wajib dicegah.

6. Bahkan jika ada orang yang memukul orang yang tidak solat misalnya, orang yang memukul pula salah dari sudut undang-undang.

7. Sementara dosa yang dikanunkan sebagai jenayah pula (zina misalnya) jika dibuat secara terbuka, ia adalah dosa dan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

8. Tetapi jika ia dilakukan secara tertutup, dalam ruang peribadi seseorang (misalnya dalam rumahnya), tidak dihebahkannya, maka itu menjadi dosa peribadi orang itu dengan Tuhan.

9. Mengapa ia menjadi dosa peribadi dengan Tuhan sedangkan ia jenayah? Sebab tidak ada orang yang tahu perbuatan dosa itu kecuali pelakunya, Tuhan, malaikat dan syaitan.

10. Bagaimana tindakan undang-undang mahu diambil jika jenayah itu tidak diketahui berlaku? Maka kekallah ia sebagai dosa peribadi orang itu dengan Tuhan.

11. Bukankah ia mungkar yang wajib dicegah? Betul, tapi apabila kita tidak tahu ada orang melakukan dosa, tak timbullah soal mencegah.

Kata Idris:
Kalau begitu apa tanggungjawab pemerintah?. Di mana kitab Amar Ma’ruf Nahi Munkar? . Kalau alasan seperti ini, maka negara tidak perlu undang-undang. Cukup anggap dosa dengan Allah sahaja. Tunggu balasan di akhirat sahaja. !

Kata Zola:
1. Siapa kata negara tak perlu undang-undang kerana undang-undang memang sudah sedia ada.

2. Isunya ialah bagaimana undang-undang hendak dikuatkuasakan jika dosa itu dosa peribadi sebab penguatkuasaan undang-undang dan hukuman memerlukan pembuktian.

3. Takkanlah kerajaan perlu ada berjuta-juta polis yang mengekori setiap orang Islam sehingga ke bilik tidurnya 24 jam sehari untuk menangkap orang itu jika orang itu berzina atau minum arak?

4. Maknanya, jika orang itu buat dosa tanpa diketahui oleh sesiapa pun (dosa peribadi), orang itu tak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

5. Nak kena tindakan undang-undang macam mana sebab pihak berkuasa tidak tahu dia buat dosa (jenayah) dalam ruang peribadinya.

Kata Idris:
Konsep Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar datang dengan satu pakej. Ia tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Di samping didik dan dialog, undang-undang dan pencegahan mesti dijalankan serentak.

Kata Zola:
1. Memang betul pun. Dan perlu difahami bahawa mencegah mungkar tidak boleh menyebabkan wujud mungkar yang lebih besar.

2. Pencegahan memang dibuat dan perlu difahami dialog juga adalah sebahagian daripada usaha pencegahan, bukan merestui mungkar.

4. Cuma, apabila mungkar dilakukan dalam ruang peribadi, macam mana nak dicegah sebab mungkar itu tak diketahui berlaku.

5. Ruang peribadi ialah premis persendirian orang berkenaan. Pub, kelab malam, rumah pelacuran, pusat hiburan, semua itu adalah ruang awam yang boleh dicegah mungkar yang berlaku di dalamnya.

6. Namun begitu, pencegahan mungkar dalam ruang awam tadi bergantung juga kepada kebenaran undang-undang.

7. Adakah PH merestui mungkar yang berlaku di sana? Amboi Idris, takkanlah orang PH sebegitu teruk sehingga merestui mungkar dan maksiat?

8. Takkanlah Tuhan buat syurga untuk orang Pas saja padahal orang Pas pun ada yang menjadi pengunjung kalbul malami ya Idris...!

Kata Idris:
Matlamat Amar Ma’ruf Nahi Munkar tidak akan tercapai tanpa ada kuat kuasa dan pencegahan. Inilah tugas pemimpin kena menjaga agama dan rakyat untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

Kata Zola:
1. Kuatkuasa undang-undang dan pencegahan tidak akan terhenti. Polis dan penguatkuasa jabatan agama masih aktif dan tak dibubarkan pun.

2. Takkanlah kerajaan PH nak bubarkan polis dan pecat semua penguatkuasa agama, bubar jabatan agama sehingga orang Islam boleh buat mungkar sesuka hati...!

3. Amboi... Jahatnya kerajaan PH. Ingat kami tak takut dosa ke? Kami pun sayang dan jaga agama juga. Bukan Idris dan Pas saja.

4. Menjaga agama tak semestinya mengikut cara dan kehendak Pas. Selama cara menjaga agama itu mencapai matlamatnya, walaupun bukan dengan cara Pas yang keras dan ekstrem, maka itu tetap dikira menjaga agama.

Kata Idris:
Bukan hendak jaga kemahuan manusia dan sokongan politik semata-mata walau pun bertentangan dengan konsep Amar Ma’ruf Nahi Munkar.

Kata Zola:
1. Antara tugas pemerintah ialah jaga manusia dan memang manusia dijadikan khalifah, antaranya untuk jaga kebajikan sesama manusia.

2. Pas tak mahu jaga manusiakah? Kalau begitu mengapa Pas berpolitik? Kalau sekadar nak jaga hubungan dengan Tuhan, Pas tak perlu wujud pun.

3. Kalau setakat nak solat, Nabi tak perlu berhijrah pun. PH memang memberi tumpuan untuk jaga manusia, sebab apabila hubungan sesama manusia terjaga dengan baik, Islam akan berkembang.

4. Apabila Islam berkembang kerana orang Islam berjaya menjaga hubungan sesama manusia, itulah kemenangan Islam.

5. Dengan cara Pas yang melampau dan ekstrem, Islam dipandang serong. Orang takut kepada Islam angkara pendekatan Pas yang keras dan tidak bertolak-ansur.

Kata Idris:
Benarlah kata Imam al Ghazali “ Agama Asas, pemimpin penjaga. Sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh. Suatu yang tidak ada penjaga, ia akan hilang”.

Kata Zola:
1. Perkataan Imam Ghazali betul cuma diperalatkan oleh Pas untuk kepentingan politik mengikut tafsiran Pas.

2. Menjaga agama tidak semestinya dengan cara dan pendekatan Pas. Bahkan cara Pas menjauhkan orang daripada agama.

3. Islam tak akan hilang walaupun Pas tidak menjaganya atau Pas tidak ada sekalipun.

Kata Idris:
Nanti akan ada yang berhujah, ini qias maal mafariq ( qias yang tidak betul). Kerana tidak memberi kepuasan kepada pihak mereka. Terpulanglah. Wallahuaklam..

Kata Zola:
Memang pun. Zola memang tak puas hati dengan Pas sebab banyak tindakan Pas menatijahkan persepsi negatif non Muslim kepada Islam.

Kata Idris:
Idris Hj Ahmad
Naib Presiden PAS
6/7/18

Kata Zola:
Zola
Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Nasional
6 Julai 2018
Arau, Perlis.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...