Wednesday, July 4, 2018

Mujahid warisi ketokohan politik Allahyarham bapa

Mujahid warisi ketokohan politik Allahyarham bapa
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V (kanan) menyerahkan surat cara pelantikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) kepada Dr Mujahid pada istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di Istana Negara, semalam. - foto Bernama

IPOH - Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Darah politik yang mengalir di dalam tubuh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa sememangnya tidak dapat dinafikan apabila beliau bukan sahaja aktif dalam politik tanah air, malah di peringkat antarabangsa, sama seperti Allahyarham bapanya.

Mujahid, 52, yang baru dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar buat penggal ketiga pada PRU14 Mei lalu, merupakan anak kepada Mursyidul Am Pas yang pertama iaitu Allahyarham Tuan Guru Yusof Rawa.

Naib Presiden Amanah itu mula memenangi kerusi Parit Buntar pada PRU12 atas tiket Pas dan mempertahankannya pada PRU13 sebelum membuat kejutan menyertai Amanah yang ditubuhkan pada 2015 serta bertanding atas tiket parti itu pada PRU14 dan sekali lagi mencatat kemenangan.

Mujahid mengekalkan kemenangan di Parit Buntar pada PRU14 setelah mengalahkan calon BN, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dengan majoriti 3,098 undi.

Dilahirkan pada 25 Oktober 1964 di Georgetown, Pulau Pinang, Mujahid memulakan zaman persekolahannya di Penang Free School selain memiliki Sarjana Muda Bahasa Arab di Universiti Al Azhar, Mesir; Sarjana Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia dan Kedoktoran Siyasah Syariah (Sains Politik) Universiti Malaya.

Ayah kepada tiga anak itu pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Multimedia Melaka dan beliau juga Pengerusi Amanah Pulau Pinang.

Selain aktif dalam politik, Mujahid juga banyak melibatkan diri dalam program pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya penaung NGO Pertubuhan Kebajikan Muhibbah Wilayah Utara, Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Pulau Pinang dan Pengerusi Masjid Melayu Warisan Dunia Lebuh Acheh.

Beliau juga mewakili Parlimen serta Amanah sebagai panel pembentang serta peserta di peringkat antarabangsa antaranya di Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia, Thailand, Taiwan dan Australia.

Walaupun aktif dalam politik dan NGO, namun Mujahid tetap mempunyai masa untuk menghasilkan buku antaranya ‘Rejuvenasi Pas’, ‘Menuju Pas Baru’, ‘Kitakan Orang Malaysia’, ‘Malaysia Pasca Rasisme’ dan ‘Wajah Baru Politik Malaysia’. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/politik/mujahid-warisi-ketokohan-politik-allahyarham-bapa-1.851893

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...