Sunday, August 5, 2018

Exco - Bekalan daging di Kedah cukup

Bekalan daging di Kedah cukup
Summugam menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan cabaran interaktif pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP- KPS) Peringkat Kedah 2018, tadi.
SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan daging di Kedah mencukupi menjelang sambutan Aidiladha nanti.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, R Summugam berkata, jaminan itu berdasarkan laporan yang diterima pihaknya daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Saya yakin tidak timbul isu bekalan berkurangan daripada permintaan pada musim perayaan. Dalam masa sama, kita yakin harga juga dapat dikawal berikutan permintaan tidak melebihi daripada bekalan sedia ada,” katanya selepas merasmikan pertandingan cabaran interaktif pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS) Peringkat Kedah 2018, di sini, tadi.

Bagaimanapun katanya, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Dal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah akan membuat tinjauan seluruh negeri untuk memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menjelang musim perayaan ini.

“Tindakan bakal dikenakan kepada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga.



“Peniaga yang dikesan melakukan kesalahan menaikkan harga barang atau perkhidmatan boleh dikenakan tindakan Akta Kawalan Barang dan Anti Pencatutan 2011 (Pindaan 2014) bagi membendung tindakan pencatutan atau pengambilan keuntungan tinggi yang tidak munasabah,” katanya.

Katanya, peniaga jika didapati sabit kesalahan pertama kali boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau keduanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

“Sementara, kesalahan yang dilakukan pertubuhan untuk pertama kali bakal berdepan denda maksimum RM500,000. Kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM1 juta,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...