Sunday, August 5, 2018

KISAH TUTUP AURAT PRAMUGARI LAGI...!

TUTUP AURAT PRAMUGARI LAGI...!

Gambar Hiasan Sahaja 

1. Tutup aurat wajib. Tak ada orang Islam yang menafikannya. Sama ada orang itu nak patuh atau tidak arahan Tuhan tadi, itu perkara lain.

2. Dalam soal tutup aurat, saya lebih cenderung dengan kaedah mendidik secara lemah-lembut dan menimbulkan kesedaran berbanding paksaan secara kuatkuasa undang-undang.

3. Mungkin ada orang kata, kuatkuasa undang-undang juga termasuk dalam maksud mendidik, iaitu mendidik secara paksaan melalui kuasa undang-undang dan hukuman.


4. Saya mungkin boleh bersetuju dengan kenyataan itu, tapi biasanya hasil pendidikan melalui kuatkuasa undang-undang, kesannya tidak cukup mendalam berbanding pendidikan secara lemah-lembut dan kesedaran.

5. Kuatkuasa undang-undang dalam hal pegangan agama berpotensi menghasilkan manusia hipokrit. Di depan undang-undang dia akan bertudung litup, tapi di belakang undang-undang dia akan dogel kembali.

6. Dia tutup aurat bukan kerana kesedaran tapi kerana undang-undang. Dia beragama kerana undang-undang bukan kerana kesedaran.

7. Tapi bukankah paksaan juga boleh membuahkan kesedaran akhirnya? Betul. Maknanya, isunya di sini ialah menimbulkan kesedaran.

8. Maknanya juga, menanamkan kesedaran secara lemah-lembut dan berhemah lebih baik daripada menanamkannya secara paksaan, kerana natijah yang dimahukan adalah kesedaran.

8. Sebab manusia tidak suka dipaksa dalam hal-hal yang berkaitan dengan amalan peribadinya. Secara fitrah, manusia mahu dia melakukan sesuatu dengan dorongan dirinya sendiri bukan dengan paksaan orang lain.

9. Boleh atau tidak kerajaan paksa orang ramai tutup aurat dengan kuatkuasa undang-undang? Jawapannya tentulah boleh. Bukan sekadar ke atas GLC tapi ke atas semua orang di jalan, di pasar, di nat, di nite club, di cyber cafe....

10. Tapi, adakah itu pilihan terbaik?Apa tidak terbaiknya, semua orang tutup aurat? Baguslah...! Bukankah tutup aurat perintah Allah yang wajib dikuatkuasakan?

11. Panjang perbincangan soal itu. Cuma saya mahu katakan, kesedaran adalah lebih baik daripada kuat kuasa undang-undang untuk mengelakkan agama ini dilihat suka menghukum dan negara ini menjadi negara teokrasi atau negara mullah.

12. Dalam hal pramugari yang mahu menutup aurat, jika hal itu timbul daripada kesedaran dirinya, itulah yang kita mahukan.

13. Seterusnya kesedaran pramugari itu seharusnya mendorong kesedaran majikan pula untuk membenarkan pramugari menutup aurat.

14. Maksud saya, gabungan dua kesedaran iaitu kesedaran pramugari dan kesedaran majikan tentu akan menghasilkan natijah yang sangat harmoni.

15. Kesedaran kerajaan pula macam mana? Fungsi kerajaan ialah mengawal selia, menyelaras, merencana, membaik pulih termasuk menguatkuasakan peraturan yang membawa kebaikan untuk semua rakyatnya.

16. Kerajaan saya yakin sedar niat murni pramugari untuk menutup aurat, dan saya yakin kerajaan juga sedar komitmen majikan untuk membolehkan perniagaan mereka sentiasa stabil dan tidak terjejas dengan sebarang keputusan yang bakal diambil.

17. Jika majikan salah membuat keputusan termasuk dalam isu aurat ini (secara emosinya akan ada orang kata, apa kaitannya untung rugi dengan tutup aurat?), tentu keputusan yang merisikokan majikan akan turut merisikokan semua pekerja termasuk pramugari.

18. Maka tentulah majikan perlu lebih berhemat dalam membuat sebarang keputusan untuk mengelakkan hal itu. Maka jalan terbaik adalah perundingan antara pramugari dan majikan.

19. Kerajaan boleh memaksa, tapi paksaan bukanlah jalan terbaik. Kerana jalan terbaik adalah pendidikan untuk kesedaran. Kerajaan berkewajipan menyelaras kepentingan pramugari dan kepentingan majikan supaya situasinya ialah menang - menang.

20. Tentulah jalan terbaik ialah perundingan dan bukan perundangan. Berunding dan bukan menuding. Ramah-tamah dan bukan marah-marah.

21. Jika kedua-dua pihak gagal dalam perundingan, tentulah salah satu pihak perlu mengalah. Dan tentulah pihak yang biasanya mengalah ialah pihak yang tidak punya autoriti. Itulah hasil daripada kegagalan perundingan.

22. Apa yang kerajaan boleh buat dalam situasi ini? Wajarkah kerajaan memaksa majikan mengikut kehendak pekerjanya? Mungkin ada orang kata tentulah wajar sebab ini urusan agama.

23. Secara mudahnya begitulah, tetapi sebuah kerajaan yang demokratik tentu perlu mempertimbangkam risiko dari semua sudut dan kepentingan umum, bukan kepentingan pramugari yang mahu menutup aurat itu saja.

24. Jika kerajaan perlu mempertahankan kepentingan yang lebih besar manfaatnya berbanding perkara yang manfaatnya khusus, tentulah keputusan kerajaan adalah mempertahankan manfaat yang lebih besar manfaatnya untuk rakyat.

25. Kerana tindakan kerajaan terhadap rakyat terikat dengan maslahah. Pramugari adalah rakyat, namun perlu diingat majikan mereka juga adalah rakyat. Bagaimana melayani kedua-duanya serentak?

26. Nak utamakan kepentingan pramugari atau kepentingan negara secara umum? Tentulah kepentingan negara secara umum perlu diutamakan sebab itulah fungsi sebenar kerajaan.

27. Kalau begitu bagaimana dengan nasib pramugari yang nak tutup aurat itu? Itulah yang saya sebut, mereka perlu bersedia untuk ditukar ke seksyen lain misalnya, atau jika mereka perlu berundur, apa pilihan yang ada?

(nota: lebai yang nak komen sila baca elok-elok sebelum komen).

Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...