Monday, September 3, 2018

Kerajaan siasat projek musang king di Gunung Inas Baling

SIK - Projek tanaman durian musang king kira-kira1,000 hektar di Gunung Inas Baling didapati mempunyai masalah dalam aspek pengurusan.

Exco Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan serta Pembangunan Insan, Azman Nasrudin berkata, projek itu dijalankan di bawah pimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Saya tahu memang projek itu ada masalah. Projek tanaman durian musang king dibuat syarikat Menteri Besar Incorporated bersama sebuah lagi syarikat," katanya.


Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas merasmikan Mesyuarat Agung PKR Cabang Sik penggal pertama 2018 di Pejabat PKR Cabang Sik, semalam.

Azman berkata, pihak terbabit tidak menguruskan aliran air dengan betul.

"Aliran air tidak diuruskan dengan betul hingga jadi seperti teh tarik. Projek itu akan disiasat," katanya.


Laporan Sinar Harian, kelmarin.
Beliau berkata, projek itu juga dibimbangi tidak melihat kepada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan sebagainya.

"Kita bimbang ada unsur-unsur tidak ikut spesifikasi.

"Jika didapati bersalah dan ada laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kita akan ambil tindakan," katanya.

Sinar Harian pada 26 Ogos lalu melaporkan aduan penduduk yang mendakwa sumber bekalan air bagi lima kampung tercemar.

Namun, pihak syarikat mengendalikan tanaman berkenaan tampil menafikan perkara itu melalui laporan Sinar Harian semalam.

Dalam laporan itu, pihak terbabit juga menafikan masalah runtuhan tebing di laluan lebuh raya Kupang Grik serta banjir lumpur pada Mei lalu berpunca projek tersebut.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...