Sunday, September 2, 2018

MELAYU SUDAH BANGKIT PADA PRU14 LALU, NAK BANGKIT APA LAGI?

Sunday, 2 September 2018

MELAYU SUDAH BANGKIT PADA PRU14 LALU, NAK BANGKIT APA LAGI?

Agak kelakar dan menggelikan hati apabila UMNO tiba-tiba menganjurkan Perhimpunan Melayu Bangkit yang semua orang faham tujuan utamanya ialah untuk mengajak rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan yang sedang mentadbir negara sekarang ini.

Pelbagai kecaman, cemuhan, kritikan dan kata-kata cacian, malah fitnah dilemparkan dengan tujuan menimbulkan kebencian kepada kerajaan dalam perhimpunan yang diadakan di Pasir Salak itu.

Tak cukup dengan itu, ada juga pemimpin UMNO yang tampil dalam perhimpunan tersebut hanya dengan memakai kain pelikat saja untuk menunjukkan dia kononnya pemimpin marhaen dan hidup seperti rakyat bawahan yang lain.



Dan seperti biasa, untuk menyebabkan Melayu kononnya dapat dibangkitkan, DAP terus dijadikan sasaran kerana didakwa telah menguasai kerajaan, mengenepikan hak-hak Bumiputera, mengancam institusi Raja serta kedudukan Islam.

Hairan sungguh mereka ini, sejak daripada ada kuasa hingga hilang kuasa, memanjang menyalahkan DAP saja.

Jika benar di mata UMNO bahawa DAP salah, DAP mengancam Raja, DAP menggugat kedudukan Melayu serta Islam dan semua yang jahat adalah DAP, mengapa parti itu tidak diharamkan saja ketika UMNO berkuasa dahulu?

Mengapa setelah hilang kuasa baru hendak melalak bagai nak pecah anak tekak?

Yang nyatanya, semua perlakuan pemimpin UMNO dalam himpunan tersebut tidak lebih menunjukkan mereka sudah mula sasau dan hilang akal apabila kuasa tiada lagi dalam genggaman.

Selama ini mereka begitu yakin UMNO itu keramat dan tidak boleh dikalahkan, lalu menyamun dan merompaklah mereka sesuka hati atas nama perjuangan Melayu dan membela hak Bumiputera.

Kini, belum pun empat bulan hilang kuasa dan aktiviti menyamun tidak boleh dilakukan lagi, mereka sudah mula mengajak Melayu untuk bangkit yang semuanya menggambarkan ketidakbiasaan hidup tanpa kuasa.

Bangkit untuk apa dan Melayu bangkit bagaimana yang diperjuangkan UMNO lagi sebenarnya?

Kenapa selama 61 tahun berkuasa tidak pernah mengajak Melayu untuk sentiasa bangkit?

Jika selama berkuasa dahulu, Melayu sudah berjaya dibangkitkan, tentulah tidak perlu lagi diajak untuk bangkit sekarang ini?

Apa jadahnya setelah hilang kuasa baru nak mengajak orang Melayu untuk bangkit?

Sedar dan insaflah wahai pemimpin-pemimpin UMNO, rakyat telah memberi peluang untuk berkuasa dengan cukup lama iaitu 61 tahun lamanya.

Apa yang diperjuangkan dan dibela selama ini selain keluarga, anak bini dan kroni?

Bukankah UMNO dan BN kalah dalam PRU14 lalu merupakan fakta yang menunjukkan rakyat dan orang Melayu sudah bangkit menolak parti itu?

Kebangkitan apa yang lebih besar selain menumbangkan kerajaan yang diberi peluang berkuasa selama 61 tahun lamanya?

Jadi, nak diajak bangkit untuk apa lagi?

Realitinya yang tumbang dan tersungkur ketika ini hanyalah para pemimpin UMNO sahaja, manakala rakyat kebanyakan dan orang Melayu secara majoritinya tetap gembira dan hidup seperti biasa.

Apakah ajakan agar Melayu bangkit itu bertujuan untuk membolehkan para pemimpin UMNO yang sudah tumbang dan tersungkur itu dapat bangkit kembali?

Selepas bangkit nanti, apa mereka akan lakukan?

Merompak dan menyamun lagi seperti dahulu? (ShahbudinHusin 02/09/2018).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...