Thursday, December 27, 2018

LUAR BIASA ERDOGAN MENUTUP TIRAI 2018


1. Tahukah anda, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pernah dipenjarakan 20 tahun lalu hanya kerana membaca puisi berikut:

“Masjid-masjid ialah berek tentera kita
Kubah-kubah masjid ialah topi keledar kita
Menara-menara masjid ialah bayonet kita
Orang-orang yang beriman pula ialah tentera kita”

2. Siapa sangka, 20 tahun kemudian beliau telah diizinkan Allah untuk bukan sahaja mengalahkan pakatan ‘ultra-sekular’ yang menguasai politik Turki sejak sekian lama, bahkan lebih gemilang lagi berjaya menyatukan aset ketenteraan berskala besar dari Timur (Rusia) dan Barat (Amerika) di tangan Turki. Tentulah bukan mudah bagi beliau untuk mencapai kedudukan hari ini.


3. Beliau bukan lelaki sempurna. Pelbagai percaturan politik dalaman Turki dan juga politik dengan kuasa besar terpaksa dilakukan Erdogan – hingga ke tahap di mana pelbagai pengorbanan yang besar terpaksa diambil. Pengorbanan ini termasuklah hingga ke tahap memutuskan hubungan dengan rakan dan sekutu rapat serta bekerjasama dengan beberapa bekas musuh tradisi.

4. Malah dalam keadaan yang tertentu, nyawa dan darah menjadi taruhan Erdogan seperti mana dalam kes pembunuhan Jamal Khashoggi, cubaan rampasan kuasa 2016, serta keputusan menembak jatuh pesawat pejuang Rusia.

5. Menjelang penutup tirai tahun 2018, Erdogan berjaya ‘menjinakkan’ satu kuasa besar yang memiliki perbelanjaan ketenteraan sebesar USD700 bilion setahun yang sejak sekian lama berlagak seolah-olah ‘polis dunia’: terutama sekali di Timur Tengah. Untuk perbandingan, perbelanjaan ketenteraan Turki hanya sekitar USD10 ke 15 bilion setahun.

6. Hanya dalam sekelip mata, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara tiba-tiba membuat satu demi satu pengumuman yang mengejutkan. Sepuluh hari sebelum tahun 2018 berakhir, Trump mengumumkan bahawa Amerika akan mengundurkan tenteranya dari Syria – sejurus beliau berbual dalam telefon dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

7. Tidak lama kemudian, Jabatan Negara Amerika mengesahkan bahawa kerajaan AS telah bersetuju untuk menjual pakej peluru berpandu Patriot kepada Turki – secara tepatnya, 80 peluru berpandu Patriot beserta dengan 60 PAC-3 ‘missile interceptors’ – atas dasar melindungi Ankara sebagai ‘sekutu NATO’.

8. Pakej penjualan Patriot kepada Turki ini dianggarkan sekitar USD3.5 bilion – mengatasi jumlah pakej sistem pertahanan peluru berpandu S-400 Rusia yang turut dijual kepada Turki dengan nilai USD2.5 bilion.

9. Tidak cukup dengan kesemua keputusan ini, Trump bahkan turut memaksa Setiausaha Pertahanannya James Mattis agar meletak jawatan segera kerana tidak bersetuju dengan keputusan beliau yang memberi sebegitu banyak kelebihan kepada Turki.

10. Siri keputusan Trump ini jelas memberi ‘kemenangan tersirat’ yang cukup besar buat Turki di bawah kepimpinan Erdogan. Pada satu sisi, Turki kini bukan sahaja akan memiliki sistem pertahanan peluru berpandu yang terbaik dari Rusia, bahkan juga bakal memiliki sistem peluru berpandu antara yang terbaik dari Amerika.

11. Untuk rekod, peluru berpandu Patriot yang dijual AS kepada Turki ini adalah buatan syarikat Raytheon – syarikat sama yang menghasilkan Tomahawk yang digunakan Trump ketika mengebom Syria pada 2017 lalu. Perlu diingat, Turki juga turut terlibat dengan program pembinaan pesawat tempur F-35 bersama AS – meski pun penjualannya kepada Turki telah ditangguhkan oleh Kongres beberapa bulan lalu untuk ‘penilaian semula’.

12. Tidak cukup dengan kesemua perkembangan ini, keputusan Trump untuk mengundurkan tentera Amerika dari Syria juga mendatangkan impak besar kepada posisi Turki – khususnya di sempadan Turki-Syria dan ancaman Kurdish. Pada mata kasar, pengunduran Amerika ini hanya akan menyumbang kepada penjimatan dan pengurangan beban ketenteraan Amerika di Syria.

13. Namun demikian, ia juga sebenarnya menandakan pengunduran Amerika daripada membantu Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan YPG (Unit Perlindungan Rakyat) iaitu sebuah pasukan Kurdish yang pro-Parti Pekerja Kurdish (PKK) – sebuah gerakan yang banyak melancarkan serangan berdarah di Turki.

14. Secara khususnya, Amerika telah sejak beberapa ketika yang lalu membantu SDF-YPG dalam misi (kononnya) memerangi DAESH sedangkan ia jelas sekali menguatkan pasukan pemberontak Kudish berkenaan di Manbij, Barat Euphrates, Syria.

15. Kemuncaknya adalah apabila tersebar kenyataan bahawa Trump dikatakan ‘menyerahkan’ urusan Syria kepada Turki menerusi perbualan telefon kedua-dua pemimpin berkenaan – kemudiannya membawa kepada peletakan jawatan James Mattis yang dilaporkan menentang keras keputusan Trump ini.

16. Lalu timbul persoalan besar – mengapakah Trump membuat kesemua keputusan yang akan menguntungkan Turki ini? Apa yang telah Erdogan lakukan hingga Trump sanggup berpatah arang dengan Setiausaha Pertahanan beliau sendiri? Bukankah Trump sendiri yang mengenakan tarif baharu ke atas import Turki yang memberi kesan buruk ke atas mata wang Lira Turki beberapa bulan lalu?

17. Jawapannya terletak pada kebijaksanaan Erdogan mengatur masa dan merundingkan tekanan ke atas Washington. Bukan lagi rahsia bahawa antara kontroversi besar yang sedang membayangi pentadbiran Trump saat ini ialah pembunuhan ngeri wartawan Jamal Khashoggi.

18. Pentadbiran Erdogan jelas bersedia memanfaatkan isu pembunuhan Jamal Khashoggi ini bagi kepentingan strategik mereka. Turki bukan sahaja memiliki pelbagai bukti yang cukup berkenaan penglibatan sekutu kuat Trump, iaitu Arab Saudi – khususnya Putera Mahkota Mohammad Bin Salman – dalam pembunuhan berkenaan.

19. Malah, berdasarkan rakaman yang dimiliki Turki, jelas bahawa Erdogan telah maklum mengenai perancangan tersebut lebih awal. Sama seperti mana tragedi rampasan kuasa 2016, Erdogan dilihat tegas menggertak apabila tragedi ini berlaku bagi mengenakan tekanan yang halus ke atas Washington (dan juga Riyadh).

20. Akhirnya tentulah pengisytiharan Erdogan bahawa tentera Turki akan mula menyerang pemberontak Kurdish – yang dibantu Amerika – di sungai Euphrates, Syria, beberapa hari sebelum beliau berhubung dengan Trump.

21. Ternyata, dalam keadaan Trump bergelut dengan pelbagai tekanan dalaman – isu perbelanjaan tembok Mexico, siasatan campur tangan Rusia dalam kempen pilihan raya Presiden Trump, perang perdagangan dengan China, percanggahan pendapat dengan anggota pentadbiran beliau, hinggalah ke tekanan seluruh dunia susulan pembunuhan Jamal Khashoggi – percaturan ‘tarik-tali’ Erdogan telah membuahkan hasil.

22. Hari ini, Erdogan telah berjaya melindungi berjuta pelarian Syria, mengurangkan peluasan kuasa Iran di Iraq dan Syria, melemahkan pengaruh Arab Saudi yang mendukung hegemoni Dollar Amerika, membantu perjuangan Palestin secara tersurat dan tersirat, mengetatkan tekanan ke atas Amerika dan Israel, mengimbangi kemaraan Rusia, dan dalam masa yang sama membuka ruang pemerkasaan kekuatan Turki dengan mengambil kesempatan manfaat kepakaran yang dimiliki kedua-dua kuasa besar di Timur dan Barat.

23. Pastinya, banyak sekali yang boleh kita pelajari daripada insan yang bernama Erdogan ini. Segala langkah perlu diatur cermat. Mengisytiharkan Amerika sebagai musuh yang perlu diperangi segera bukan langkah strategik. Mengisytiharkan Rusia sebagai musuh yang perlu dikalahkan segera bukan tindakan bijak. Sebaliknya, segala teknologi dan kepakaran dari kedua-dua Amerika dan Rusia dicedok bagi menguatkan kedudukan Turki - sekali gus mencorakkan pola politik antarabangsa secara berperingkat-peringkat. Luar biasa strategi Erdogan menutup tirai 2018.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

1 comment:

  1. Tapi Hadi Awang ni lain dia tak baca puisi.. tapi baca ayat Quran terjemahan hala.. Sokong PAS tanda orang tu Islam,maka ramai lah yg keliru.. Ingat Islam itu PAS dan PAS itu Islam sampai ada yg mati, bercerai laki bini dan pulau memulau sebab terpengaruh politik gaya Hadi Awang nie...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...