Thursday, December 27, 2018

Tiada kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya tahun depan

Tiada kenaikan kadar  tol di 21 lebuh raya

Kerajaan memutuskan tiada kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara pada tahun depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pembekuan kenaikan kadar tol itu membabitkan implikasi kewangan kerajaan sebanyak RM994.43 juta.

Beliau berkata, Kabinet pada 12 Disember lalu bersetuju membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara yang tolnya layak dinaikkan pada 2019.

“Ia adalah satu penambahbaikan ketara kepada pengumuman Belanjawan 2019 pada 2 November lalu yang hanya membekukan semua kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar saja untuk tahun hadapan.

“Implikasi kewangan itu membabitkan pembekuan kenaikan kadar tol berkenaan merangkumi 21 lebuh raya; kadar tol bagi bas di 8 lebuh raya berasingan dan pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang (Jambatan Pertama Pulau Pinang), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) serta di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Katanya, pembekuan komprehensif itu adalah berasaskan kepada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan untuk meringankan beban sara hidup dipikul rakyat.

Guan Eng berkata, kerajaan menganggarkan pembekuan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya membabitkan kos bayaran pampasan sekitar RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya.

“Manakala, pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Lebuhraya Laluan Kedua di Johor pula membabitkan bayaran pampasan sebanyak RM20 juta setahun,” katanya.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/tiada-kenaikan-harga-tol-di-21-lebuh-raya/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...