Monday, October 28, 2019

Jangan bagi kuasa Kerajaan haramkan PARTI POLITIK, biar undang-undang yang tentukan, kata Anwar

Jangan ajar Putrajaya haram parti politik, PAS mungkin kena, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyelar PAS kerana menggesa Putrajaya mengharamkan DAP, susulan beberapa pimpinan parti itu dikaitkan dengan isu buku komik kontroversi diharamkam dan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Anwar berkata, kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man semalam merupakan pemikiran dan pendekatan lama dalam berpolitik dan sekiranya diamalkan akan turut menimpa parti Islam itu sendiri.

“PAS masih buat pemikiran lama, suruh haramkan itu dan ini. Ini adalah politik lama. Sekarang ini kalau dia (PAS) mula ajar, kerajaan ada kuasa untuk haramkan PAS, itu bahaya.



“Bahkan bahaya untuk PAS juga, jadi jangan,” katanya sewaktu ditemui pemberita pada program Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu Tuan Ibrahim menggesa supaya DAP, komponen Pakatan Harapan (PH), diharamkan atas tiga sebab, termasuk penerbitan buku komik kontroversi “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”. Kata Tuan Ibrahim, sekurang-kurangnya terdapat tiga bukti yang menjadi asas agenda DAP dan dilihat semakin berbahaya kepada politik negara.

Pada masa sama, Anwar berkata, isu permohonan bekas penyokong setia Umno, Salleh Said Keruak untuk menyertai PKR masih belum mencapai sebarang kata putus walaupun sudah dipersetujui PKR Sabah.

“Belum (ada keputusan). Ia masih dibincang, tetapi kita selalu tanya cabang dan negeri. Ada yang setuju dan ada yang bagi pandangan, namun kita dengar semua,” katanya ringkas.

Terdahulu, Pengerusi PKR Sabah Christina Liew mengalu-alukan Salleh menyertai parti itu jika beliau sanggup mengetepikan “prinsip Umno” yang dipegangnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...