Wednesday, February 19, 2020

Fakta SPV, bangsa Cina dan Tabung Haji


Oleh Dr Zaharuddin Abd Rahman

Persoalan mengenai Tabung Haji (TH) dan Syarikat Tujuan Khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan kerap diulang dan jawapannya juga terpaksa diulangi setiap kali isu TH diberi liputan media.

Antara soalan kerap berulang adalah ‘mengapa perlu pindahkan aset sedangkan sebahagian kelihatan aset yang berharga?” Menurut TH, aset Tabung Haji yang dipindahkan kepada Urus Jemaah Sdn Bhd iaitu SPV adalah apabila ia mempunyai ciri berikut iaitu harta tanah tanpa sekatan yang mempunyai pulangan kurang dua peratus; pelaburan dalam sekuriti ekuiti domestik (kecuali anak syarikat TH) dan syarikat tidak tersenarai yang mempunyai kejatuhan nilai melebihi 20 peratus bagi tempoh tiga tahun lalu.

Mengapa perlu pindah kepada SPV? Jawapannya, jika semua aset ini masih dikekal dalam ‘buku’ atau pemilikan Tabung Haji, ia bakal menjadikan tanggungan (liabiliti) Tabung Haji melebihi asetnya. Akibatnya, menurut Akta Tabung Haji, TH tidak boleh memberi Hibah kepada pendepositnya walaupun mempunyai keuntungan operasi.



Menurut akta Tabung Haji, klausa 3 (a) menyatakan tiada pengagihan keuntungan boleh dilakukan Tabung Haji kecuali Lembaga Tabung Haji mesti terlebih dahulu memastikan aset tidak kurang daripada agregat liabiliti Tabung Haji.

TH melaporkan liabiliti sebanyak RM74.4 bilion berbanding aset keseluruhan RM70.3 bilion, iaitu total defisit sebanyak RM4.1 bilion, pada 31 Disember 2017. Antara puncanya adalah keuntungan TH daripada operasi perniagaan, termasuk seluruh anak syarikat serta syarikat bersekutu dan pelaburannya, semua tidak cukup banyak untuk mendahului tanggungan (liabiliti) TH.

Selain itu, peningkatan liabiliti juga adalah daripada punca penurunan dan kekurangan keuntungan aset ekuiti, kerana pasaran saham yang tidak memberangsangkan, maka angka sebenar menunjukkan semua ini menyebabkan defisit asetnya mencecah RM4.1 bilion.

Benar, kelemahan pasaran saham memainkan peranan kepada bermasalahnya akaun TH dan meningkat liabilitinya, namun itu bukan satu-satunya penyebab kerana kerugian amat banyak dicatatkan juga oleh anak syarikat yang tidak tersenarai, hartanah dan lain-lain.

Elak masalah lebih besar

Maka bagi membolehkan Tabung Haji merawat dan meningkatkan jumlah aset serta melupuskan kurang untung yang menambahkan liabilitinya ini, maka proses pemindahan aset kepada pihak luar diperlukan segera atau Tabung Haji akan gagal memberikan apa-apa hibah yang boleh menyebabkan masalah lebih besar kepada kelangsungan Tabung Haji itu sendiri iaitu dibimbangi bank run atau pengeluaran besar-besaran berlaku.

Malah, tanpa proses ini, Tabung Haji dijangka tidak mampu memberikan sebarang dividen sepanjang lima tahun akan datang kerana kejatuhan nilai saham yang tersenarai atau yang tidak tersenarai di bursa dan juga hartanah dipegang Tabung Haji tidak dijangka akan mampu pulih dengan pantas dalam tempoh hanya dua hingga empat tahun.

Bayangkan sebagai contoh, saham seperti FGV yang dahulunya bernilai RM4.40, jatuh kepada 93 sen. Ketahuilah bahawa TH sebelum ini memegang 283 juta saham FGV. Ada lebih 100 syarikat pegangan TH yang jatuh teruk dan kekal jatuh lebih 20 peratus berbanding harga ketika belian dan ia melebihi tiga tahun.

Justeru, berapa lamakah akan diambil untuk menunggu nilai FGV dan semua nilai syarikat berjumlah 106 ini untuk naik semula ke harga belian TH dahulu? Atau melebihinya? Sudah tentu sukar digambarkan ia boleh pulih dalam tiga atau empat tahun ini.

Maka, aset sekuriti seperti ini mesti dikeluarkan dari buku TH agar tidak merosakkan Balance Sheet TH disebabkan keperluan rekod perakaunan menurut standard Financial reporting standard consensus nombor 14 di bawah impairment mengkehendaki TH merekodkan semua ini sebagai kerugian.

Sememangnya, difahami melepaskan pegangan ke atas aset berkenaan adalah pedih, namun tiada pilihan terbaik pada masa ini kecuali dengan bantuan kerajaan (yang juga penjamin TH) ia perlu dipindahkan. Teknik ini pernah dilakukan dahulu oleh Danaharta dan ia bukan sesuatu yang luar biasa.

Apa yang penting, bukan aset tadi dijual oleh Tabung Haji kepada bukan Bumiputera kerana aset ‘dijual’ kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) iaitu mewakili kerajaan dan bukan hak mutlak Menteri Kewangan. Malah menurut maklumat sahih yang diedarkan di Parlimen, semua aset yang dipindah adalah dengan harga yang sangat bagus berbanding harga pasaran yang terlalu rendah.

Bantu TH pulih semula

Menurut kiraannya, sebahagian aset itu dipindahkan kepada UJSB pada kadar premium 55 peratus secara purata, lebih tinggi daripada harga pasaran semasa, yang mana ia adalah suatu deal yang baik bersifat ‘menang-menang’ bagi membantu TH pulih semula.

Antara pegangan ekuiti TH yang jatuh nilai sejak tiga tahun lalu yang akan dilepaskan kepada UJSB adalah UEM Sunrise Bhd, Boustead Heavy Industries Corp Bhd, Alam Maritim Resources Bhd, Mah Sing Group Bhd, UEM Sunrise Bhd, FGV Holdings Bhd, Brahim’s Holdings Bhd, Puncak Niaga Holdings Bhd, Parkson Holdings Bhd, White Horse Bhd, MCT Bhd, MMC Corp Bhd, Suria Capital Holdings Bhd, Axiata Group Bhd, Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd dan semua berjumlah 106 syarikat yang nilai rosotnya jatuh pada jurang 20 hingga 93.5 peratus dan sudah berkekalan begitu selama tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji juga menyatakan Tanah TRX dibeli dengan harga RM198 juta, namun masih terbiar kosong tanpa sebarang hasil kepada TH. Oleh itu, menurut beliau ia termasuk dalam ciri hartanah TH tidak memberikan pulangan melebihi dua peratus dalam tempoh panjang tiga tahun.

Sebab itu ia dipindahkan ke SPV dan dengan harga yang baik iaitu sekitar RM400 juta, semua harga pemindahan ini, termasuk dalam kiraan penerbitan sukuk, tiada tunai tetapi dalam bentuk receivable kepada TH hasil pemegangan Sukuk nanti.

Kerajaan juga tiada banyak pilihan kecuali perlu mengusahakan sesuatu buat Tabung Haji kerana termaktub dalam akta Tabung Haji klausa 24 (1) yang memberi maksud bahawa apa sahaja yang terjadi kepada wang pendeposit atau Tabung Haji, semuanya dijamin kerajaan.

Tercatat jelas dalam akta seperti berikut “If any expenditure of the Lembaga in relation to withdrawals by depositors cannot be met out of the Fund or reserve Fund it shall be charged on and payable out of the Consolidated Fund”. Maka sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas Tabung Haji, sewajarnya kerajaan mengambil inisiatif mengukuhkannya melalui transaksi pemindahan ini.

Kenapa tidak dijual kepada pihak luar dan peroleh lebih untung? Sudah tentu ia bakal mengambil masa, malah amat sukar mendapatkan pembeli yang sanggup membeli dengan harga premium berbanding harga pasaran rendah bagi setiap aset terbabit.

Ambil jalan selamat

Malah, TH juga memindah milik kepada SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd sebagai jalan selamat daripada membiarkan semua pegangan aset jatuh kepada pemilikan pihak luar yang mungkin hanya memikirkan keuntungan berbanding SPV yang mewakili Kerajaan Malaysia yang juga penjamin kepada deposit TH.

Apa jadi selepas sempurna pemindahan kepada SPV UJSB? Dengan sempurna, pemindahan aset kepada SPV UJSB itu, SPV akan menerbitkan Sukuk RM10 bilion berkupon sifar dengan tempoh matang tujuh tahun, ia diterbitkan dengan diskaun kepada TH pada RM10 bilion. Ini bermakna pada hujung tahun ke-7 Sukuk terbabit, TH layak menerima penebusan 14.1 bilion (iaitu menurut kiraan lima peratus setahun).

Juga diterbitkan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) pada nilai RM9.9 bilion. Semua Sukuk dan RCPS-i yang bakal dipegang TH ini bakal menyaksikan ia memasuki buku TH sebagai receivable atau aset bernilai RM19.9 bilion.

Jelas, transaksi itu akan meningkatkan jumlah aset serta pada masa sama melepaskan sejumlah besar aset berliabiliti tinggi kepada UJSB. Hasilnya, Tabung Haji dijangka dapat menyaksikan lebihan (surplus) aset berbanding liabiliti pada masa terdekat yang membolehkan ia memberi hibah dan seterusnya memulakan proses pemulihan dengan menumpukan perhatian kepada aset yang terbaik sahaja.

Ia amat penting bagi kelangsungan Tabung Haji. Jika tidak, Tabung Haji bakal tenggelam dengan liabiliti besar yang mampu menggagalkan TH memberi dividen untuk tahun mendatang, dan kesan buruk terhadap ekonomi Malaysia secara umum.

Isu CEO SPV Tabung Haji bukan Islam, berbangsa Cina? Ini adalah isu terbaru yang dipolitikkan dan dimanipulasi dalam bentuk yang tidak bertanggungjawab sebenarnya. Lebih teruk lagi ada yang mengatakan CEO Tabung Haji itu sendiri adalah bukan Islam, padahal CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji adalah Datuk Seri Zukri Samad iaitu seorang Melayu Muslim yang profesional dan juga bekas CEO Bank Islam Malaysia Berhad.

Syarikat tujuan khas atau SPV yang mengambil alih aset Tabung Haji dengan bayaran harga premium atau tanpa rugi buat Tabung Haji, adalah UJSB. Siapakah ahli lembaga pengarahnya yang juga pengurusan tertinggi dalam pengurusan SPV UJSB ini?

Mereka adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ahmad Badri Mohd Zahir (pengerusi); Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Rashidah Mohd Sies; Pengarah Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd, Mohd Shukri Hussin; Timbalan Setiausaha Fiskal Dan Ekonomi, Mohd Hassan Ahmad dan Ketua Seksyen Bahagian Fiskal Dan Ekonomi, Imri Dolhadi Ab Wahab.

Siapakah pula CEO bagi syarikat SPV Urus Harta Jemaah Sdn Bhd? Ia dijawab pihak menteri bahawa tiada CEO buat masa ini. Disebabkan itu, operasi hariannya ditampung oleh sebuah lagi syarikat kerajaan iaitu Prokhas Sdn Bhd. Ia adalah sebuah syarikat kerajaan yang memang diamanahkan untuk menguruskan kebanyakan SPV milik kerajaan.

Ahli Lembaga pengarahnya pula adalah Datuk Mohd Salleh Mahmud, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar, Datuk Fauziah Yaacob, Datuk Mohd Nasir Ahmad dan Datin Rashidah Mohd Sies. Siapakah pula CEO Prokhas Sdn Bhd? Ketua Pegawai Eksekutif Prokhas Sdn Bhd ketika ini adalah seorang berbangsa Cina iaitu Chen Yin Heng. Di sinilah isu yang dimanipulasikan.

Persoalannya adakah aset Tabung Haji dikawal bukan Islam? Jawapannya, tidak kerana aset diurus Prokhas itu tiada kaitan lagi dengan Tabung Haji kerana semua aset yang dahulunya milik TH itu telah dipindahmilik kepada UJSB, maka aset terbabit bukan lagi aset Tabung Haji, ia telah pun dari satu sudut dianggap terjual kepada UJSB atau kerajaan Malaysia dengan harga tanpa rugi buat Tabung Haji (berbanding harga pasaran yang merugikan).

Kurang kefahaman

Justeru, tidak timbul sama sekali syarikat Prokhas dan CEOnya menguasai apa-apa bahagian dari Tabung Haji atau asetnya. Membaca tuduhan ini dan melihat bagaimana ia disebarkan menunjukkan sama ada ceteknya kefahaman awam terhadap isu ini atau tidak bertanggungjawabnya pihak yang memutarbelitkan isu.

Selain itu, syarikat Prokhas Sdn Bhd juga sudah sekian lama menguruskan pelbagai syarikat SPV kerajaan Malaysia sejak pemerintahan kerajaan terdahulu, antaranya adalah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP), Dana Infra dan Dana Harta.

Malah Cen Yin Heng juga sudah lama berada di posisi beliau sejak syarikat Danaharta lagi pada 1998 dan kemudian bertukar ke Prokhas sejak 2006, Jelas ia bukan lantikan baharu oleh kerajaan terkini.

Jadi, adakah seorang berbangsa Cina kini menjadi CEO syarikat yang urus SPV Tabung Haji? Tidak, kerana SPV tidak mengurus aset Tabung Haji tetapi ia mengurus aset milik syarikat Urusharta Jemaah Sdn Bhd sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan yang mewakili Kerajaan Malaysia.

Ia tiada kena mengena lagi dengan Tabung Haji kecuali kerajaan melalui UJSB dan Prokhas, perlu cemerlang dalam pengurusan aset yang dibeli agar mereka boleh membayar hutang kepada Tabung Haji dan tidak menambah beban kerugian ke atas kerajaan.

Malah jika mereka gagal memulihkan aset itu, kerajaan tetap menyelesaikan hutang hasil jumlah pemindahan aset kepada pihak Tabung Haji. Menurut maklumat juga, kerajaan juga akan terus menerus membantu syarikat ini melalui pelbagai cara dan insentif.

Menamakannya sebagai SPV Tabung Haji juga adalah salah dan menunjukkan ketidakfahaman ramai mengenai isu ini, kerana sebenarnya UJSB dan Prokhas adalah SPV Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan dan bukannya SPV Tabung Haji.

Selain itu, seorang CEO tidak punyai kuasa penuh dalam pengurusan sesebuah syarikat kerana dia sentiasa perlu melaporkan kepada ahli Lembaga Pengarah. Pengerusi Lembaga Pengarah bersama semua ahli Lembaga Pengarah syarikat adalah yang mempunyai kuasa dan autoriti tertinggi serta boleh menukar CEO sekiranya tidak menjalankan tugasan dengan baik lagi kemas.

Sama-samalah kita berdoa agar tabung amanah untuk tujuan mulia - menunaikan ibadah Haji - ini semakin baik. Sudah tentu pihak pengurusan baharu sedang melaksanakan tugasan sebaik mungkin bagi mengembalikan zaman keuntungan TH, misalnya ketika 2013 dengan keuntungan bersih RM2.45 bilion.

Penulis ialah Profesor Adjung Fakulti Perakaunan & Kewangan, Universiti Selangor (UNISEL), Presiden Multaqa Asatizah & Duat atau Himpunan Asatizah (MURSHID).

4 comments:

  1. Akta yg patut d beri pembaikan..
    Akta yg lebih baik Dan bertanggungjawab...

    ReplyDelete
  2. Yg penting jgn cuba2 potong subsidi Haji... Kerana masalah pengurusan... Sbb sblm ni di bwh BN yg di maki mcm2 pun... Sudsidi haji ttp di teruskan... Sgt di bimbangi di bwh kerajaan baru ni... Pendapatan dari pelaburan semakin berkurang krn byk aset yg di jual... Jd sudsidi haji pun berkira dah... Dah bg dividen pun rendah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau yg di jual adalah aset yang tidak produktif dan tak mendatangkan keuntungan, malah menjadi tanggungan, macammana pulak ia akan mengurangkan perolehan.

      Delete
  3. Kalau Tak tau jangan serbu, malulah. Restructuring refers to available resources, offset bad debts to whatever balances that can be sustain. Cuci semula hutang Dan jual aset yg membebankan termasuk yg akan jadi beban. So is bukan saja Berkaitan dgn yg non produktif. Ia juga bukan korek Dan kambus. Ia adalah solusi untuk dapatkan modal semula manakala tanah Dan infra boleh didapatkan semula dari kerajaan Dan Kos Bina semula lebih murah Dan lebih up-to-date.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...