Sunday, December 13, 2020

Jawapan MB KEDAH Kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


1. Tiada sesiapapun yang dapat menafikan bahawa sumber air yang mengalir dalam Sungai Muda bermula di ‘hulu’ Sungai Muda, iaitu di dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, negeri Kedah Darul Aman.


2. Sumber air tersebut berasal dari kawasan tadahan air yang memerlukan pengekalan dan kelestarian kawasan tersebut untuk menjamin bekalan air yang mencukupi kepada 4.06 juta rakyat Kedah, Perlis & Pulau Pinang.


3. Ini bermaksud, sumber air tersebut berpunca dari kawasan tadahan yang melibatkan sebahagian besar tanah dalam wilayah Negeri Kedah, sebelum mengalir menerusi Sungai Muda merentasi Kedah, melewati negeri Pulau Pinang sebelum memasuki Selat Melaka. 163,000 hektar tadahan itu memerlukan pemuliharaan, tidak diusahakan dengan aktiviti ekonomi yang mengubah rupa bumi dan fungsinya. 

4. Persempadanan di antara negeri Kedah dan Pulau Pinang yang dibahagikan melalui sempadan sungai hanya berlaku disempadan negeri Kedah-Pulau Pinang iaitu di Kampung Pantai Prai di Negeri Kedah dan Kampung Setui di Pulau Pinang. 


5. PBAPP mengekstrak 80% sumber air mereka dari Sungai Muda setiap hari iaitu 1,100 juta liter sehari (mld).


6. Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) mengenakan caj kepada pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi setiap meter padu yang diekstrak (800 mld) bagi tujuan membekalkan bekalan air terawat kepada seluruh rakyat Kedah.


7. Kenaan caj yang sama patut dikenakan kepada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang yang mengekstrak setiap meter padu menggunakan sumber air berasal dari Sungai Muda, walaupun sumber air yang diekstrak adalah di sebelah sempadan negeri Pulau Pinang tetapi sumber asal air tersebut adalah dari Sungai Muda di Kawasan Tadahan Ulu Muda.


8. Perjanjian 1985 perlu disemak semula memandangkan keperluan bekalan air semakin meningkat di samping keperluan kepada pembangunan dan pengekalan kelestarian alam semulajadi bagi tujuan mengekalkan sumber air turut meningkat. (Sustainable Development Goals untuk teras 6 dan 15 - United Nation).


9. Merujuk kepada perjanjian 1985, persepakatan yang dicapai adalah bertujuan “menjamin bekalan air dari Ulu Muda yang terletak di negeri Kedah.” Jaminan hanya bermaksud menjamin bekalan air kepada Pulau Pinang, bukan jaminan bekalan air mentah secara percuma selama-lamanya. 


Selepas 35 tahun, keperluan untuk mengekalkan bekalan sumber air agar jaminan tersebut berterusan telah berubah mengikut keperluan dan permintaan bekalan air terawat pada masa kini. 


10. Apabila wujud kos untuk penyelenggaraan sumber dan aliran, sewajarnya kos itu turut dipikul oleh Pulau Pinang selaku pihak penerima faedah. Apatah lagi, kos melepas akibat pengekalan kawasan tadahan di Ulu Muda semakin hari semakin meningkat.


11. Keadaan ini telah berubah apabila Akta 655 - Akta Industri Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA 2006) diluluskan di Parlimen, yang membawa reformasi besar-besaran dalam bidang pengurusan dan pembiayaan bekalan air di seluruh negara. Beberapa agensi baru di peringkat persekutuan dan negeri-negeri diwujudkan selaras dengan kehendak akta ini, seperti SPAN, PAAB, SADA, LSANK dan PBAPP di Pulau Pinang. Jabatan Bekalan Air di negeri-negeri telah dimansuhkan. Pemisahan antara pengurusan sumber air dengan operator bekalan air adalah intipati penting akta ini.


12. Bagi tujuan pengekalan dan kelestarian alam semulajadi, ia memerlukan kos pemeliharaan dan pemuliharaan yang tinggi untuk memastikan sumber asli tersebut benar-benar terjamin. 


13. Dari perspektif keadilan sosial, pihak PBAPP perlu bersama-sama bertanggung-jawab memastikan sumbangan kepada rakyat benar-benar dapat disumbangkan daripada sumber yang betul dan bertindak adil kepada agensi-agensi pemberi perkhidmatan kepada rakyat. Perkongsian kos yang sama akan lebih bermanfaatkan rakyat keseluruhannya. 


14. Dengan demikian, PBAPP patut membayar caj pengekstrakan air dari sumber air mentah negeri Kedah agar manfaatnya dapat dikongsikan secara bersama bagi rakyat di kedua-dua negeri. Adalah tidak wajar Kedah perlu korbankan tanah hutan yang luas dan menanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran, sementara Pulau Pinang pula menikmati faedah dan keuntungan secara percuma.


15. Adalah diharapkan faktor-faktor berbangkit ini menjadi pertimbangan PBAPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membuat bayaran sewajarnya kepada Kedah melalui LSANK. Kerajaan Persekutuan diharapkan dapat menjadi fasilitator untuk menjayakan rundingan antara kedua-dua negeri dan agensi terbabit.


Muhammad Sanusi Md Nor

13 Disember 2020

1 comment:

  1. Cakap jer lahi yg hang nak tebang balak kawasan tadahan air. Banyak lar hang punya kluk klek. Dah munafik tu munafik ler selamanya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...