Wednesday, March 1, 2023

ANTARA ROYALTY PETROLIUM DENGAN ISU PERKAUMAN..!


 USAH JADIKAN ROYALTI PETROLEUM SEBAGAI ISU PERKAUMAN

1. Selepas pembentangan bajet 2023, segelintir ahli parlimen mendakwa negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, dan Terengganu diketepikan, manakala Pulau Pinang yang majoritinya Cina diutamakan.

2. Dengan dakwaan ini, tular dalam media sosial bahawa Melayu sedang ‘disembelih’ di tanah airnya sendiri, bahawa pemimpin Melayu dalam kerajaan perpaduan berdendam dan berbuat zalim terhadap bangsa sendiri.

3. Antara bukti yang mereka bawa ialah penafian royalti petroleum untuk Terengganu dan Kelantan. Betulkah dakwaan ini?

4. Dakwaan sebegini amat tidak bertanggungjawab kerana tidak disertai dengan fakta yang benar dan dibuat semata-mata untuk meniupkan sentimen perkauman dan kebencian kepada kerajaan perpaduan. 

5. Penafian royalti petroleum 5% untuk Terengganu dan Kelantan bukanlah perkara baharu. Pertikaian berkaitan hal ini telah berlarutan lama sehingga kerajaan negeri membawa kes ini ke mahkamah pada tahun 2010. 

6. Bagaimanapun pada tahun 2019 semasa pemerintahan kerajaan PH, kerajaan negeri menarik balik saman tersebut setelah kerajaan pusat membayar Kelantan RM400 juta dalam apa yang dikenali sebagai bayaran "sekali sahaja". 

7. Pada 25 November 2021, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan di Dewan Rakyat bahawa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri masing-masing.

8. Zafrul membuat kenyataan ini berdasarkan kepada peruntukan Akta Laut Wilayah 2012 yang menetapkan negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dari pesisir pantai sahaja. 

9. Sebelum itu, semasa kerajaan Perikatan Nasional, Menteri Undang-Undang DS Takiyuddin Hj Hassan tidak pula membawa Akta Wilayah Laut 2012 ke Parlimen untuk dimansuhkan dan tidak juga membayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu--hanya sekadar wang ehsan sahaja.

10. Menariknya, kerajaan negeri tidak bising dan tidak juga menimbulkan soal mendiskriminasikan orang Melayu, kerana pada waktu ini mereka berada dalam kerajaan Keluarga Malaysia.

11. Ironis, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DS Azalina Othman Said menegaskan sekali lagi hal ini di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023 bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima royalti tunai, pihak oposisi menuduh kerajaan perpaduan menganiaya orang Melayu, sedangkan keputusan tersebut adalah sama seperti era pemerintahan TS Muhyiddin Yassin dan DS Ismail Sabri menjadi PM. 

12. Persoalannya, seluas manakah hak perairan kerajaan negeri ke atas medan petroleum? Sejauh manakah peruntukan perlembagaan berkaitan dengan hak negeri ke atas galian yang ditemui di kawasan mereka? Salahkah tindakan kerajaan perpaduan menafikan hak negeri Kelantan dan Terengganu ke atas royalti petroleum? Sejauh manakah penafian ini bertentangan dengan prinsip federalisme? 

13. Pertanyaan ini sukar dijawab kerana pihak yang layak mengesahkan kedudukannya ialah mahkamah. Isunya ialah mengapakah kerajaan negeri menarik balik samannya pada tahun 2019? 

14. Dengan latar ini, wajarkah pihak oposisi menyatakan kerajaan perpaduan menafikan hak orang Melayu hanya kerana menolak membayar royalti petroleum kepada dua negeri Melayu ini? 

15. Jawapannya tentu tidak wajar kerana tindakan kerajaan perpaduan tidak mencabul keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. 

16. Selagi tindakan kerajaan perpaduan mengikut lunas undan-undang, maka ini bermakna tidak sesekali kerajaan perpaduan menganiaya orang Melayu Kelantan dan Terengganu.

17. Nasihat saya kepada pihak oposisi janganlah terus meniupkan sentimen perkauman untuk menentang sesuatu keputusan kerajaan yang mereka tidak bersetuju kerana ini boleh mengancam keharmonian hubungan kaum sesama kita. 

18. Dalam kes royalti petroleum, gunalah saluran undang-undang dan lain-lain tindakan diplomasi supaya kita dapat sama-sama mengangkat Malaysia Madani—bagi mewujudkan Malaysia yang stabil, makmur dan bahagia.

19. Untuk negara kita maju ke depan, hentikanlah bermain dengan sentimen perkauman yang meresahkan rakyat. Debatlah bajet 2023 dengan isu yang lebih substantif melibatkan seluruh rakyat, bukan hanya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja. Marilah kita bersama kerajaan perpaduan untuk mengangkat kembali negara kita menjadi sebuah negara bangsa yang megah di pentas dunia.

Muhammad Agus Yusof


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...