Thursday, March 9, 2023

DAKWAAN RASUAH DI MAHKAMAH, ZALIM MAI KOT MANA.. TAK BERSALAH BELA LAH DIRI..!


 JANGAN JADIKAN DAKWAAN RASUAH SEBAGAI MODAL POLITIK PERKAUMAN

1. Esok TSMY akan didakwa atas pertuduhan rasuah berkaitan dengan dana Jana Wibawa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
 
2. Apa itu Jana Wibawa? Jana Wibawa adalah Program Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa yang diluluskan oleh kerajaan pada 12 November 2020 semasa TSMY menjadi PM. 

3. Tujuannya adalah untuk mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan serta meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan. 

4. Terdapat 56 projek di bawah program Jana Wibawa bernilai RM6.3 bilion, dan dilaporkan Bersatu menerima sumbangan lebih RM300 juta daripada kontraktor bagi projek ini. Susulan itu, SPRM bertindak membekukan akaun Bersatu. 

5. Dahulunya, semasa Dato Seri Najib bergelumang dengan kes 1MDB dan salah guna kuasa, TSMY menjadi jaguh mendesak DSN didakwa untuk membersihkan negara ini.

6. Peliknya, setelah disiasat hari ini, TSMY bukan mengambil kesempatan untuk membersihkan parti dan dirinya, tetapi mendakwa tuduhan ke atasnya adalah pendakwaan politik terpilih.

7. Tadi pagi, semasa TSMY ke Ibu Pejabat SPRM untuk disiasat, penyokongnya menjerit Lawan Kezaliman, Tolak Kezaliman, Tolak BN, Tolak Anwar, Anwar Pendendam, Hidup Abah, Hancur Anwar, Hancur PH, Bangkit Melayu, dan Bangkit Islam.

8. Apa yang zalimya kerajaan perpaduan dan DSAI apabila TSMY didakwa? Sejak awal lagi, PM telah menyatakan tidak akan campur tangan dalam kes sebegini dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mendakwa. 

9. Saya hairan apabila ada yang menyatakan dakwaan ini tidak adil. Apa yang tidak adilnya apabila semua yang terlibat dalam penyiasatan dan pendakwaan ini—KP SPRM, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara adalah dilantik sebelum DS Anwar Ibrahim menjadi PM lagi?

10. Saya risau dengan sentimen untuk meletakkan kesalahan pendakwaan itu ke atas bahu PM. Lebih risau lagi apabila kumpulan penyokong TSMY dan PN ini menggunakan isu agama dan kaum untuk menarik simpati orang Melayu. 

11. Kenyataan seperti dakwaan terhadap TSMY bersifat dendam, PH-BN takut pada sokongan orang Melayu, dakwaan terpilih untuk mengalih perhatian bagi menutup isu ROS, dan menyeru orang Islam bermunajat malam ini untuk menolak kezaliman ke atas TSMY adalah bahaya.

12. Bahayanya adalah kerana TSMY dan PN akan terus menggunakan sentimen agama dan perkauman untuk menarik sokongan orang Melayu. Bahayanya kerana sentimen ini boleh mencetuskan rasa tidak selesa rakyat, huru hara, menakutkan pelabur, dan menjejaskan ketenteraman awam.

13. Kepada penyokong TSMY dan PN, nasihat saya sederhana. Hadapi dakwaan. DS Anwar dan DSN dahulu menghadapi tuduhan tanpa mengaitkan dakwaan ke atas mereka dengan Melayu dan agama.

14. Selepas itu, tunggu keputusan mahkamah. Mahkamah adalah badan bebas yang berhak menentukan keputusan seadilnya. Tambahan pula, pendakwaan terhadap TSMY adalah oleh SPRM yang menyiasat penyalahgunaan wang rakyat tanpa mengira sempadan politik.

15. TSMY hanya didakwa dan beliau belumpun didapati bersalah sehingga mahkamah memutuskan beliau bersalah. Jadi, apa yang perlu kecohnya? Yang perlu kita lakukan sekarang ialah mendokong kerajaan untuk menyelamatkan negara dari rasuah. 

16. Rasuah salah. Kita patut tangkap perasuah. Jika pemimpin menghadapi tuduhan rasuah, kita bicarakan mereka dengan adil. Jangan jadikan rasuah sebagai modal politik perkauman untuk menganggu kestabilan politik negara.

DATO' DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF
Ketua Pengarah J-KOM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...