Kerajaan Persekutuan disarankan agar tidak memberikan tumpunan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ( LTSAH) menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa kerana ia bukan keperluan mendesak bagi rakyat negeri Kedah.
Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak seharusnya melaksanakan program menambah pendapatan pesawah, penoreh getah dan remaja lepasan sekolah menengah yang masih menganggur di Kedah.
“Golongan tersebut merupakan rakyat Kedah yang amat terdesak dengan kedudukan ekonomi mereka akibat daripada Najibnomics.
“Tekanan GST dan penarikan balik subsidi menjadi punca golongan tersebut merana dalam kehidupan seharian mereka masa kini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika merasmikan Penutup Ekspo Muafakat Kedah di perkarangan Stadium Darulaman pada 3 Mac lalu.
Najib yang juga Menteri Kewangan itu berkata kerajaan akan menaiktaraf sebagai tarikan utama kemasukan pelabur ke Bukit Kayu Hitam, yang bersempadan dengan Thailand.

