Thursday, February 15, 2018

Saya harap Tun tidak tanding sini, kata wakil rakyat Langkawi

Melissa Darlyne Chow

nawawi-mahathir-1
Nawawi Ahmad mengakui bekas PM itu banyak menyumbang kepada pulau itu tetapi tidak mahu ia terjejas disebabkan jatuh ke tangan pembangkang.

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad berharap Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan bertanding di pulau itu sebagaimana spekulasi sebelum ini, sambil berkata ia akan mengundang pelbagai kata-kata yang “menyakitkan hati” terhadap bekas perdana menteri itu.

Nawawi yang mengakui sumbangan besar pengerusi PPBM itu, berkata dengan tidak bertanding di Langkawi juga menepati status diri Dr Mahathir.

“Dengan penuh rasa hormat, saya berharap Dr Mahathir tidak akan bertanding di Langkawi. Sebaik kempen pilihan raya bermula, mungkin ada yang akan mengeluarkan kata-kata menyakitkan hati kepadanya,” katanya kepada FMT.

“Beliau sudah banyak meyumbang kepada Langkawi. Saya perakui perkara itu. Jadi, kita tidak patut menyakiti perasaannya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Dr Mahathir, yang dicalonkan sebagai bakal perdana menteri oleh Pakatan Harapan, sebelum ini menamakan Langkawi antara 3 kawasan Parlimen yang mungkin ditandinginya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pada PRU lalu, Nawawi mengalahkan calon PKR dengan majoriti 11,861 undi.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada beliau akan dicalonkan sekali lagi.

Nawawi yakin Barisan Nasional (BN) akan kekal kuat di Langkawi.

Menurutnya, gabungan itu mempunyai pangkalan ahli yang besar sebagai pengundi Langkawi, mencecah 40% daripada jumlah keseluruhan.

Ini bermakna Umno dan BN hanya memerlukan 10% undian lagi untuk menjamin kemenangan.

Nawawi juga berkata kekalahan BN di Langkawi akan menjejaskan ekonomi pulau itu sebagai pusat pelancongan.

“Jika Langkawi jatuh ke tangan pembangkang, bajet untuk Langkawi akan menjadi sedikit.

“Langkawi harus kekal dengan BN, sama seperti Putrajaya, untuk ia terus memperoleh bajet mencukupi untuk pembangunan pelancongan di pulau itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...