Wednesday, February 21, 2018

UniSHAMS nama baru bagi Kolej Universiti Insaniah (KUIN)


Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah, telah ditubuhkan sejak 1994. Sepanjang penubuhan, kerajaan negeri telah merancang untuk menjadikan KUIN sebagai sebuah universiti penuh di kawasan utara tanah air. Tetapi, KUIN tidak berjaya untuk mendapat status universiti penuh kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Namun begitu, setelah hampir 25 tahun, penantian untuk menjadikan KUIN sebagai universiti penuh telah berjaya apabila menerima Perakuan Pendaftaran daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

KUIN juga kini telah bertukar nama baru sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS). Perakuan Pendaftaran itu telah diserahkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir kepada Rektor UniSHAMS Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, untuk sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat status penukaran sebagai universiti penuh bukanlah mudah.


Beliau berkata, antara syarat yang diperlukan adalah mencukupi bilangan pensyarah berkelulusan doktor falsafah (PhD), mempunyai modal berbayar RM20 juta, program ditawarkan mendapat akreditasi selain menjalankan kajian pendidikan.

“Justeru, perkara ini bukan suatu yang mudah, malah ada IPT memohon untuk mendapat status universiti penuh tetapi tidak berjaya kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan kementerian ini.

“Kementerian Pendidikan Tinggi tidak akan berkompromi dan walaupun kita mesra dengan mereka, kita mesti memastikan syarat dipenuhi oleh pihak IPT yang berkenaan dalam menjadikan sistem pendidikan negara terus berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UniSHAMS berkata segala hasrat untuk menjadikan KUIN sebagai universiti penuh sudah tercapai apabila telah berjaya memenuhi segala syarat yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Kita bersetuju di bawah Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, baginda turut berkenan untuk menamakan KUIN sebagai UniSHAMS dan akhirnya, impian itu terlaksana pada hari ini.

“Segala syarat ditetapkan oleh kementerian berjaya dipenuhi dan kelulusan itu adalah merit yang kita dapat daripada apa yang kita sediakan sepanjang pengalaman 25 tahun ini,” katanya.

UniSHAMS adalah sebuah IPTS yang dimiliki kerajaan negeri Kedah. IPTS itu menawarkan 44 kursus pengajian dengan jumlah terkini menunjukkan terdapat seramai 3,895 penuntut.-utaranews

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...