Thursday, March 1, 2018

AMCJL desak KPN segera ekstradisi Jho Low


MALAYSIA DATELINE

Ketua Polis Negara disarankan agar mengekstradisi Jho Taek Low kembali ke Malaysia bagi membuktikan pasukan itu berintegriti dalam menegakkan undang-undang negara.

Jurucakap Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL) Faiz Fadzil berkata, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun perlu mendapatkan kerjasama kerajaan Indonesia bagi mengesahkan sama ada Jho Low berada di Indonesia ketika rampasan dilakukan.

“Jika Jho Low berada di Indonesia sekarang, beliau seharusnya dikesan dan ditangkap untuk diekstradisi ke Malaysia di mana Malaysia mempunyai Perjanjian Ekstradisi dengan Indonesia.

“Tangkapan ke atas Jho Low amat penting bagi membolehkan siasatan jenayah dimulakan di negara ini supaya skandal 1MDB ini diselesaikan dan tadbir urus negara dibaiki serta ekonomi negara dipulihkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.



Semalam media tempatan melaporkan kapal mewah ‘Equanimity’ bernilai RM1bilion milik Jho Low penjenayah paling dikehendaki di dunia telah dirampas di Bali, Indonesia.

AMCJL melihat rampasan kapal mewak itu adalah perkembangan positif siasatan skandal berskala mega 1MDB.

“Rampasan ini adalah berita baik buat rakyat Malaysia kerana siasatan terhadap kecurian wang negara hampir RM20bilion tidak berhenti.

“Namun, ia mimpi ngeri buat sang penguasa di Putrajaya yang cuba melindungi Jho Low hingga kekal bebas ke saat ini.
“Akhirnya, kapal mewah buruan dunia ini tumpas di tangan polis sang garuda dan bukannya polis sang harimau belang.

“Syabas dan setinggi penghargaan buat Presiden Indonesia Jokowi dan pasukan polis Indonesia bersama Biro Penyiasatan Khas (FBI) di atas kejayaaan ini.

“Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak dan Polis Malaysia sehingga kini masih gagal mengesan Jho Low walaupun sudah bertahun perbuatan jenayah Jho Low didedahkan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Tempoh pemantauan 8 hari yang diambil polis Indonesia sebelum merampas kapal mewah tersebut menunjukkan kecekapan dan komitmen pihak berkuasa Indonesia yang tidak berkompromi dengan jenayah hasil reform tadbir urus negara tersebut,” ujarya

Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional berkata, dengan kenyataan Profesor Undang-undang Antarabangsa Indonesia Hikmahanto Juwana, mendakwa,terdapat wang tunai yang dijumpai di dalam kapal tersebut menimbulkan pelbagai persoalan umum.

“Sama ada ia satu usaha membawa masuk wang ke negara ini bagi memenuhi kepentingan pihak yang mempunyai kaitan dengan penyelewengan 1MDB.

“Apatah lagi PRU Ke-14 hanya menunggu masa sahaja. MO1 pernah menyatakan pada awal tahun 2016 bahawa wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian beliau digunakan untuk tujuan PRU Ke-13 yang lalu,” dakwanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...