Sunday, June 3, 2018

Batal HSR elak tanggung beban hutang RM100 bilion

 
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berpendapat adalah lebih baik kerajaan menanggung kerugian jangka pendek dengan penalti kira-kira RM500 juta akibat pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Menurutnya, hal tersebut adalah lebih baik daripada terpaksa menanggung beban hutang sehingga RM100 bilion yang sudah tentu memberi kesan yang sangat buruk kepada negara.

“Projek ini jika dilaksanakan, hanya akan siap dan mula beroperasi menjelang 31 Disember 2026, iaitu kira-kira sembilan tahun dari sekarang.

“Projek ini juga akan memakan masa terlalu lama untuk mendapat pulangan balik apatah lagi menjana keuntungan. Ini belum lagi mengambil kira kos-kos lain termasuk kos penyelenggaraan.

“Pelaburan ke atas projek yang mencecah RM110 bilion ini sangat tinggi sedangkan pulangannya rendah,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.


Untuk rekod, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan projek mega di bawah pentadbiran Najib Razak itu pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, 28 Mei lalu.

Sehubungan itu, Osman berkata, keputusan Kerajaan Pusat untuk membatalkan projek itu amat tepat dan bersesuaian dengan pendekatan Pakatan Harapan untuk tidak mahu membebankan negara dengan projek-projek mega yang boleh menyebabkan pertambahan hutang dan pada masa yang sama berusaha untuk mengurangkan hutang negara.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Johor, ujarnya, sentiasa komited dengan janji untuk membawa pembangunan ke Johor tengah dan utara menerusi rangkaian penyambungan mod pengangkutan yang lebih murah, moden dan mengambil kira keberkesanan kos.

“Apa yang paling penting ialah perkhidmatan yang ditawarkan itu dapat dinikmati rakyat daripada seluruh lapisan masyarakat dan projek yang dilaksanakan itu pula tidak membebankan kewangan negara sehingga menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang untuk tempoh masa yang sangat panjang,” katanya.

Beliau menyifatkan pemerintahan BN sebelum ini ternyata gagal membangunkan Johor secara seimbang dan menyeluruh apabila ada kawasan memperoleh nikmat pembangunan `mewah’ manakala sebahagian lagi ketinggalan, diabaikan atau dianaktirikan seperti di bahagian Johor utara.

“Bahagian Johor selatan pula sebagai contoh sentiasa terdedah dan menjadi mangsa kepada pembangunan berbentuk `permainan’ spekulasi hartanah.

“Dengan kepercayaan dan sokongan penuh rakyat negeri Johor sebagaimana yang dizahirkan dalam pilihan raya umum baru-baru ini, kerajaan Johor berhasrat membangunkan Johor secara holistik,” tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas berkenaan berkata, pihaknya tidak akan sesekali mengulangi kesilapan kerajaan sebelum ini dengan kesan buruknya terpaksa ditanggung oleh rakyat negeri itu.

Beliau turut menafikan dakwaan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin bahawa pembatalan projek itu sebagai kegagalannya dalam menjaga kepentingan negeri Johor dan rakyat negeri itu.

“Menjaga kepentingan rakyat Johor dan membela nasib rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan saya sebagai Menteri Besar yang baharu walaupun terpaksa mewarisi banyak `kepincangan’ yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini.

“Tugas berat dan kritikal yang terpaksa dilakukan oleh kerajaan sekarang ialah memulih dan mengukuhkan kembali kedudukan kewangan negara yang telah dimusnahkan pentadbiran dan kepemimpinan sebelum ini,” jelasnya.

Pada masa sama, tambahnya lagi, kerajaan baharu PH memikul tanggungjawab untuk memastikan rakyat sentiasa terbela daripada bebanan kos hidup yang tinggi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...