Sunday, June 3, 2018

Mat Sabu menjadi tumpuan di Singapura

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu tidak menjangka masyarakat umum di Singapura turut mengikuti perkembangan politik di Malaysia.

Bernama difahamkan bahawa ketika kunjungan Mohamad – atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu – ke Masjid Sultan untuk menunaikan solat Jumaat, beliau dikerumuni jemaah yang terdiri daripada rakyat tempatan dan asing untuk merakam gambar bersamanya.

“Saya tidak menjangkakan sambutan sebegini. Saya tidak sangka mereka mengikuti perkembangan politik tanah air kita,” kata Presiden Parti Amanah Negara – satu daripada empat parti komponen Pakatan Harapan – ketika ditanya tentang sambutan luar jangkaan itu, lapor Bernama.

Mohamad tiba di Singapura sejak Jumaat lalu bagi menghadiri Dialog Shangri La (SLD) edisi ke-17 yang sedang berlangsung di republik berkenaan.

Beliau merupakan menteri Kabinet Malaysia yang baru selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 awal bulan lepas.


Pekerja hotel pun minat

Pelbagai gambar Mohamad ketika di Singapura dimasukkan dalam laman facebook beliau.

Rata-rata gambar Mohamad bersama masyarakat di Singapura dapat dilihat dikongsi di media sosial.

“Salam Jumaat. Haji Mohamad bin Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, Menteri Pertahanan Malaysia di Masjid Sultan Singapura tadi. Seorang lelaki yang sederhana,” menurut sebuah laman Facebook yang turut memaparkan gambar pemimpin itu.

“Seorang pemimpin berjiwa rakyat. Alhamdulillah,” tambahnya.

Sambutan terhadap beliau di Masjid Sultan tersebut turut dilaporkan akhbar Berita Harian Singapura.

Sambutan sama turut dirasai beliau di Shangri La Hotel di mana dialog tiga hari itu berlangsung.

Difahamkan Mohamad akan dihampiri oleh peserta, malah pekerja hotel untuk merakamkan gambar bersamanya.

“Selepas makan malam pada Jumaat, kami pulang ke bilik agak lewat kerana melayani permintaan bergambar ‘peminatnya’ yang menahan beliau di lobi hotel,” menurut seorang daripada pegawai pengiring beliau.

Bernama turut menerima tempias apabila rakan media asing di sini turut bertanya sama ada penulis berpeluang untuk menemu ramah Menteri Pertahanan itu.

“Kamu dapat slot temu ramah beliau? Pukul berapa? Boleh kami ikut sama? Jangan risau kami tidak ganggu temu ramah kamu.. kami hanya mahu bergambar,” itu adalah antara permintaan rakan media di sini.

Mohamad akan berlepas pulang hari ini selepas pertemuan bersama Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Mattis.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...