Tuesday, June 12, 2018

Kerajaan Kedah kaji dasar perumahan negeri agar seimbang dari segi permintaan dan bekalan.

Kerajaan Kedah kaji dasar perumahan negeri
PADANG TERAP – Kerajaan Kedah akan mengkaji semula dasar perumahan negeri yang dilaksanakan kerajaan terdahulu supaya setiap projek dibangunkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew berkata, pihaknya mendapati, masih wujud kelompangan yang harus diperbaiki berhubung dasar perumahan sedia ada terutama dalam menyeimbangkan semula aspek permintaan dan penawaran.

"Isu perumahan kita sedia maklum amat penting di Kedah dan kerajaan mahu memastikan semua rakyat di negeri ini mampu memiliki rumah walaupun kerajaan terdahulu turut mengambil berat isu ini, namun masih terdapat kelemahannya.

“Antara contoh ialah melalui projek PR1MA (Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia) di Sungai Petani yang dilaporkan masih terdapat banyak kekosongan dan kadar jualannya rendah, jadi saya nampak tidak seimbang dari segi permintaan dan bekalan.

“Perkara itu perlu dikaji semula untuk kita tambah baik," katanya selepas menyerahkan kunci rumah melalui pembinaan kediaman di bawah Program Rumah Impian Kedah/Perlis di Kampung Sireh, Pedu dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri ini memiliki rumah, beliau berkata kerajaan akan berbincang dengan pihak bank untuk mencari kaedah terbaik memudahkan peminjam membuat pinjaman dan tidak menolak permohonan mereka.

“Kerajaan juga akan melihat semula proses kelayakan bagi pemohon rumah kos rendah kerana kami dimaklumkan masih ramai golongan itu yang berada dalam senarai menunggu meskipun sudah lama mendaftar. Justeru kita mahu dasar perumahan ini lebih fleksibel selepas ini,” katanya.

Terdahulu, Kok Yew menyampaikan kunci rumah baharu melalui Program Rumah Impian Kedah/Perlis kepada pasangan, Mohd Shukor Salleh, 35, dan Siti Aishah Kasim, 29, di Kampung Sireh, Mukim Tekai Kiri, dekat sini.

Kok Yew berkata rumah baharu dengan kos RM20,000 itu dibina pada Februari lalu dan siap dalam tempoh dua bulan, dengan mempunyai satu bilik air serta dua bilik tidur.

Sementara itu, Mohd Shukor berkata sebelum ini dia dan isteri serta seorang anak lelaki berusia dua tahun tinggal di rumah diperbuat daripada buluh kerana tidak mampu membina rumah lebih sempurna akibat kekangan modal.

Beliau hanya mengambil upah bekerja kampung seperti menoreh getah, menebas rumput dan meracun kebun penduduk kampung dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.

“Saya sangat bersyukur kerana tahun ini dapatlah beraya di rumah baharu selepas sekian lama menetap di rumah sempit dan daripada buluh yang tidak selesa...bila hujan kami sering basah. Syukurlah kami ada rumah sendiri dan raya kali ini sangat bermakna kerana tidak malu lagi orang nak datang beraya ke rumah kami,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...