Wednesday, August 8, 2018

Exco - Sekolah tahfiz di KEDAH perlu berdaftar

Sekolah tahfiz perlu berdaftar
Antara yang menghadiri Perjumpaan Mahabbah di Kompleks Maahad Tahfiz Ahmadiah, Kampung Haji Ngah, Bedong.

SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap isu keselamatan membabitkan pelajar sekolah agama, pondok dan maahad tahfiz di negeri ini.

Exco Agama, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, ia penting bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku termasuk isu kebakaran yang sering dikaitkan.

Menurutnya, bagi memastikan institusi pendidikan agama mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan, beliau menyarankan agar setiap pusat perlu berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (Jaik).

"Kita harap semua sekolah agama berdaftar, bukan nak menyusahkan tetapi kita tak mau sekolah yang kita urus ni tak selamat," katanya ketika hadir ke Perjumpaan Mahabbah di Kompleks Maahad Tahfiz Ahmadiah, Kampung Haji Ngah, Bedong.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Dr Salmee Said dan Pendaftar Sekolah-sekolah Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Zainul Jamal Abdul Ghani mewakili Pengarah Jaik.


Menurut Ismail, ia sebagai rasa tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan setiap sekolah agama, pondok dan maahad tahfiz diberi perhatian terutama dalam aspek keselamatan.

"Dalam isu keselamatan, kita tak boleh kompromi, pihak pengurusan kena ikut syarat ditetapkan termasuk pembinaan premis yang selamat untuk anak-anak mendapatkan akses pendidikan,"katanya.

Sementara itu, Zainul Jamal menafikan syarat yang dikenakan bagi meluluskan pendaftaran sesebuah sekolah agama adalah ketat sebaliknya menegaskan, ia bertujuan mengelakkan berlakunya salah guna kuasa ke atas pembinaan pusat agama.

"Setiap sekolah yang menerima 20 pelajar haruslah berdaftar kerana ia tertakluk kepada Seksyen 12(1) Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam Negeri Kedah Bil 8 Tahun 1988.

"Dari segi status tapak dan premis, kita tak dapat beri kelonggaran, begitu juga dengan pembinaan institusi itu sendiri kena dapatkan pengesahan bomba.

"Ini sebab pengajaran dari kes terdahulu apabila status tanah tidak jelas iaitu wakaf tapak secara lisan dan tidak didokumenkan, kita bimbang nasib institusi agama itu sendiri apabila pewakaf sudah tiada,"katanya.

Setakat ini, terdapat 29 buah sekolah agama rakyat, 26 sekolah rendah Islam, 23 buah pondok dan 66 maahad tahfiz di Kedah yang berdaftar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...