Wednesday, August 8, 2018

Salahuddin rancang majukan bidang dan teknologi pertanian dengan kerjasama UPM


MALAYSIA DATELINE

Salahuddin rancang majukan bidang dan teknologi pertanian dengan kerjasama UPM
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada dasarnya bercadang akan menubuhkan sebuah universiti yang kursus pendidikannya menumpukan sepenuhnya kepada bidang dan sektor pertanian.

Menterinya, Datuk Salahudin Ayob berkata, ke arah menterjemahkan impian itu, pihaknya telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan mendengar beberapa pandangan khususnya daripada beberapa tokoh dan individu yang terlibat secara langsung dalam pengembangan pertanian negara.

Katanya, beliau juga telah memaklumkan melalui pelbagai pihak mengenai keperluan kementerian itu untuk mengembalikan Universiti Pertanian dalam konteks untuk memaju dan memacukan masa depan pertanian negara.

“Oleh itu, satu usaha mesti dilakukan dan saya sendiri sebagai Menteri Pertanian akan memulakan perbincangan secara serius dan formal dengan pelbagai pihak.

“Mungkin kita bermula pertemuan dengan pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) sendiri dalam usaha untuk kita membahaskan hujah-hujah ini di peringkat awal.

“Sekiranya ada persefahaman dan UPM berminat atau mempunyai tujuan yang sama dengan kementerian ini, perkara itu harus diteliti untuk kita mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Pendidikan kerana semua universiti di bawah kementerian berkenaan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Empowering of Agriculture Extension 2018 di Dewan D Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dekat sini, hari ini seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Menurut Salahudin, visi dan perancangannya untuk memajukan bidang pertanian ialah negara ini mesti mempunyai sebuah universiti yang khusus dalam sektor itu bagi melahirkan pakar dalam pelbagai bidang untuk mengisi ruang yang diperlukan oleh industri pertanian.

“Kalau tidak, kita bimbang dari segi Penyelidikan dan Pembangunan (RnD), teknologi baharu dan juga kepakaran itu tidak dapat diperturunkan.

“Kita mengambil contoh, negara Thailand mempunyai dua universiti pertanian di Chiang Mai dan Chulalokorn. kedua-dua universiti ini benar-benar fokus pada pertanian dan membantu petani mereka.

“Ini penting bagi kita kalau kita mahu meningkatkan sama ada kepakaran, pengetahuan dan teknologi yang perlu kita perturunkan kepada petani, peladang dan penternak kita,” katanya.

Ujarnya, mungkin kementeriannya bermula dengan UPM dahulu, tetapi perkara itu harus diperhalusi dengan mengadakan perbincangan dua hala yang mesti mencapai persetujuan bersama.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...