Wednesday, August 8, 2018

Kumpulan Republikan: Dengan BN pun kami kerjasama


Institut Republikan Antarabangsa (IRI) yang berpangkalan di Washington mengakui ia turut bekerjasama dengan parti-parti politik Malaysia merentasi spektrum siasah yang melibatkan BN dan Pakatan Harapan.

Merujuk beberapa laporan media, semalam, IRI berkata ia tidak bekerjasama dengan gabungan parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN sebelum pilihan raya pada 9 Mei.

"IRI adalah organisasi bukan partisan yang bekerjasama dengan rakan-rakan di Malaysia sejak tahun 2002 untuk mengukuhkan keupayaan parti politik bersaing dalam pilihan raya dan mematuhi amalan tadbir berorientasikan rakyat.

"IRI membekalkan sokongan bukan partisan kepada parti-parti yang meliputi seluruh spektrum politik dalam bentuk bengkel latihan dan rundingan dengan gabungan parti-parti HARAPAN dan BN.

"IRI tidak memberi bantuan kewangan kepada parti-parti politik di Malaysia," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.


Menurut kumpulan itu, kerjanya termasuk inisiatif yang direka untuk meningkatkan penyertaan belia dalam bidang politik dan mengukuhkan keupayaan organisasi masyarakat sivil Malaysia.

"Melalui kerja ini, IRI membantu rakyat Malaysia memastikan wakil rakyat yang terpilih itu bertanggungjawab dan mereka boleh menyampaikan sebarang kebimbangan terhadap kerajaan," kata kumpulan itu.

Presiden IRI, Daniel Twining dalam satu forum di Washington pada 11 Julai berkata pertubuhannya telah berusaha untuk "mengukuhkan" parti pembangkang di Malaysia, tetapi tidak memberikan butiran.

Twining juga mendakwa beliau telah melawat Malaysia selepas pertukaran kerajaan dan meluangkan masa dalam "pejabat perdana menteri".

Twining bagaimanapun berkata IRI tidak menyumbang dalam perubahan di Malaysia tetapi sebaliknya perubahaan itu adalah reaksi kepada korupsi, nepotisme dan kronisme.

IRI diasaskan sebagai salah satu daripada empat pertubuhan prodemokrasi yang didanai National Endowment for Democracy (NED). NED pula didanai Kongres AS.

Beberapa tahun mutakhir, IRI dituduh melatih pembangkang dan pemimpin rampasan kuasa antaranya di Honduras, Haiti, Cuba, Mesir dan Tunisia.

Isu IRI ini timbul di tengah-tengah kontroversi surat CIA, yang mana kerajaan sebelum ini didakwa meminta pertolongan luar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...