Friday, October 4, 2019

Putrajaya - GST BN rakyat sudah tolak, Sehingga kini PH belum terfikir nak laksana semula

Perlu mandat jelas rakyat jika mahu laksana semula GST


PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) enam peratus memerlukan mandat jelas daripada rakyat dan juga persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Jika rakyat mahukannya kita perlukan mandat jelas daripada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bulanan kepada kakitangan Kementerian Kewangan di sini pagi ini.

Katanya, beliau bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohmad pagi semalam, tetapi perdana menteri tidak menyebut apa-apa tentang isu itu kepadanya.

“Mungkin beliau hanya menjawab pertanyaan media dengan berkata jika rakyat mahukan (GST), maka kerajaan boleh menimbangkannya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, rakyat membuat keputusan jelas menolak GST enam peratus dalam pilihan raya umum tahun lepas.


Beliau berkata, kerajaan berjaya mengawal inflasi apabila GST dimansuhkan, yang merupakan janji PH dalam manifestonya.

GST enam peratus yang diperkenalkan pada April 2015, digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 Sept 2018.

Pada Rabu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mencadangkan supaya Putrajaya memperkenalkan semula cukai itu dalam belanjawan akan datang pada kadar lebih rendah tiga peratus.

Ia berkata, sistem cukai tersebut membantu kewangan kerajaan sewaktu harga minyak jatuh ke bawah paras AS$36 satu tong pada 2015.

Semalam ketika menjawab pertanyaan pemberita, Mahathir berkata, kerajaan boleh melaksanakan semula GST “sekiranya rakyat mahu”.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...