Thursday, November 28, 2019

PEJUANG RAKYAT APA NAMANYA KALAU BEGITU MUDAH ALAH KEPADA KELETIHAN DAN KESEJUKAN?


Untuk kesekian kalinya, isu ketidakhadiran Ahli-Ahli Parlimen kerajaan ketika persidangan Dewan Rakyat terus berlaku lagi.

Ketika sesi kali ini saja sudah beberapa kali loceng terpaksa dibunyikan berikutan kehadiran tidak cukup kourum sehingga Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad turut memberi teguran mengenainya, baru-baru ini.

Apabila ia terus berlaku lagi, meskipun selepas teguran dibuat, bermakna teguran Perdana Menteri tidak memberi apa-apa erti bagi mereka.

Dalam hal ini, meskipun teguran Perdana Menteri berkenaan ketidakhadiran itu penting untuk diberi perhatian, tetapi yang lebih penting lagi ialah persepsi atau penilaian rakyat tentang sikap Ahli-Ahli Parlimen kerajaan tersebut.


Dengan mengambil lewa soal itu, sedangkan mereka diberi elaun kehadiran bersama penginapan dan elaun belanja harian lagi, sepatutnya tidak timbul masalah dalam hal ini.

Lagi pun, sidang Parlimen hanya diadakan empat kali dalam setahun dan empat hari saja dalam seminggu, takkanlah tidak boleh memberi keutamaan kepadanya?

Meskipun sebelum ini, pelbagai alasan serta hujah cuba diberikan berkenaan kehadiran yang buruk itu, jawapan beberapa Ahli Parlimen kerajaan kali ini nampaknya lebih menyakitkan hati rakyat mendengarnya.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul memberi alasan keletihan sebagai punca perkara itu berlaku.

Katanya, selain Ahli Parlimen terikat dengan program tertentu, mereka juga selalunya balik lewat malam sekitar pukul 12.00 sama ada kerana sidang Parlimen berlarutan sampai ke malam atau disebabkan mereka ada urusan lain.

Dengan itu, katanya, mereka jadi keletihan dan biasanya akan lewat sampai ke Parlimen pada sesi sebelah pagi.

Dalam keadaan tertentu, alasan Johari itu barangkali boleh jugalah diterima, tetapi alasan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, rasanya bukan saja mengarut, malah tidak masuk akal sama sekali.

Kata beliau, adalah sukar bagi Ahli Parlimen untuk berada lama dalam Dewan kerana suhunya yang terlalu sejuk.

“Bukan mudah untuk kami duduk dalam jangka masa yang lama. Ada ketikanya ia sangat sejuk.

“Di mana-mana sahaja di (Parlimen) negara lain, anda tidak boleh jangka Ahli Parlimen terus duduk lama dalam dewan,” katanya.

Aduhhhh….apa punya alasan ni YB?

Bagaimana kalau Dewan Rakyat panas tanpa hawa dingin dan hanya menggunakan kipas saja?

Apa pula alasannya ketika itu?

Soalnya, kenapa setelah jadi kerajaan saja alasan sejuk ini kedengaran, sedangkan sewaktu dalam pembangkang dulu elok pula selalu hadir tanpa banyak rungutan?

Apa pun hujah yang mahu diberikan, Ahli-Ahli Yang Berhormat kerajaan ini janganlah sampai mengeluarkan alasan yang tak masuk akal, mengarut serta menyakitkan hati rakyat mendengarnya.

Mereka sudah dipilih sebagai pemimpin dan tiada alasan untuk meremehkan tanggungjawab yang telah diberi serta diamanahkan.

Jika sebelum menang, macam-macam janji boleh diucapkan, termasuk kononnya akan menyuarakan apa saja masalah rakyat di dalam Parlimen, kenapa setelah menang, tiba-tiba ada alasan letih, sejuk dan sebagainya?

Di mana nilai perjuangan dan kesungguhan mereka bekerja untuk rakyat kalau begitu mudah tewas hanya kepada keletihan dan kesejukan? (ShahbudinHusin 28/11/2019).

2 comments:

  1. Aku dulu pun pernah bagi alasan Kat supervisor aku, Aku cakap penat la bang, Kejap lagi saya buat. Dia ambik toolbox aku, pas tu Dia cakap, masuk opis nanti, sain Surat berenti keje. Mengelabah aku pujuk balik, takde pun Dia buang, gurau je kot. Tapi Dia cakap, Takut Minyak, Takut penat, Takut panas, jgn Jadi pomen. Dia tak sama, Tapi boleh jadi Contoh kot. Lama Dah pun, tahun 2002 rasanya. Masa tu Kat diperdana kontena. Mirzan Mahathir punya kompeni. Kompeni tu pun Dah takde, tapak je masih Ada, Dengar Dah jual Kat org lain. Sebab tu tutup. Kami workshop pun diberi pampasan dan Berhenti kerja...

    ReplyDelete
  2. Semuanya bagi alasan dangkal.Alasan YB Hanifa tu boleh diterima lah sikut pasal dia pernah pengsan semasa berada di dewan... buatlah satu kawasan tanpa pendingin hawa.... kan kirang yang luluskan peruntukan... masa nk jadi calon dulu kenapa tak pikir habis2 mengenai kemampuan fizikal sendiri... TM yang verumur 94 tahun boleh tahan sejuk... guanernya yang lebih muda mudah tumpas....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...