Monday, October 11, 2021

PANDORA PAPERS DEDAHKAN KEKAYAAN NEGARA TERUS DISELUDUP, TETAPI NAJIB PULA GESA GST


 PANDORA PAPERS DEDAHKAN KEKAYAAN NEGARA TERUS DISELUDUP, TETAPI NAJIB PULA GESA GST 

1. Kontroversi “Pandora Papers” bukanlah isu yang baharu, malah pendedahan mengenai simpanan luar pesisir (offshore) sebegini telah berlaku beberapa kali dalam dekad yang lepas. Setiap kali pendedahan ini dibuat, khususnya ketika pentadbiran Najib Razak, nama Malaysia pasti akan terpalit. Dalam pendedahan “Panama Papers” pada tahun 2016, sekurang-kurangnya 1,784 individu Malaysia telah dinamakan, termasuk anak Najib, Mohd Nazifuddin. Pada tahun 2015, pendedahan “Swiss Leaks” telah menunjukkan bahawa 93 akaun klien berkait dengan Malaysia.

2. Semua pendedahan ini menunjukkan bagaimana ahli politik dan orang kaya lari daripada cukai dan menyimpan kekayaan mereka dalam akaun-akaun tersembunyi di negara lain, yang selalunya mempunyai kadar cukai yang rendah. Akibatnya, Malaysia kehilangan hasil cukai, sehinggakan rakyat B40 dipaksa bayar cukai lebih tinggi, contohnya menerusi GST.

3. Aliran keluar wang haram telah menjadi serius ketika pentadbiran Najib Razak dan Barisan Nasional. Menurut laporan Global Financial Integrity, jurang nilai dagang atau “value gaps” Malaysia (merujuk kepada beza nilai perdagangan dilaporkan Malaysia dan rakan negara dagang) telah meningkat daripada US$25.9 bilion pada tahun 2009 kepada US$41 bilion pada tahun 2017. Keadaan ini merujuk kepada masalah “trade misinvoicing” iaitu kaedah popular menyeludup keluar kekayaan ke negara rendah cukai.

4. Saban tahun, Malaysia berada dalam kalangan 5 negara teratas dalam isu aliran keluar wang haram. Kerajaan tidak pernah ada suruhanjaya khas yang bebas untuk menyiasat isu ini. Pada 9 Oktober baru-baru ini, Najib cuba memutarkan isu ini dengan mengatakan hanya syarikat-syarikat Malaysia serta MNC terlibat dalam “trade misinvoicing" ini. Padahal, Global Financial Integrity telah secara jelas menyatakan bahawa “trade misinvoicing” ini juga meliputi ahli politik, ahli kerajaan dan penjenayah yang menyeludup keluar wang secara haram. Global Financial Integrity juga pernah menyebut bahawa kegagalan kerajaan membendung rasuah boleh meningkatkan aliran keluar dana haram. 

5. Gesaan Najib bahawa cukai GST hanya satu-satunya kaedah untuk menyelesaikan masalah ini adalah tidak masuk akal. Jika benar GST boleh membendung aliran wang haram secara haram, negara-negara maju OECD tidak akan terus terjejas dengan masalah ini sehingga sekarang. Ironinya, data Global Financial Integrity menunjukkan nilai “value gap” Malaysia telah meningkat selepas GST diperkenalkan.

6. Justeru, rakyat perlu bersatu hati menolak amalan rasuah dan mengangkat agenda integriti dan tadbir urus baik (governance). Dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, dokumen tersebut telah menyebut tentang perang menentang pelbagai kegiatan haram termasuk aliran dana haram. Untuk berjaya dalam perang menentang aliran keluar wang haram ini, Malaysia perlu menambah baik sistem perundangan dan pemantauan pihak berkuasa. Episod hitam negara dengan kewujudan pelbagai “shell company” yang seterusnya menyebabkan berlaku skandal 1MDB tidak boleh dibiarkan berulang. 

7. Kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh, adil dan bebas pendedahan antarabangsa seperti Pandora Papers, Panama Papers dan Swiss Leaks. Jangan biarkan rakyat marhaen yang tidak bersalah terus merana. Kekayaan negara harus dikongsi secara adil demi mencapai kemakuran bersama. 


FAIZ FADZIL
11 Oktober 2021

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...