Monday, February 19, 2018

‘Hadi lupa sejarah penubuhan AMANAH’

ARIF ATAN

AMANAH wujud selepas Pas dilihat semakin hari semakin lunak dengan Umno melalui idea kerajaan perpaduan (UG), kata Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Menurutnya, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang lupa faktor kewujudan AMANAH pada 2015 ketika ramai pemimpin Pas lain masih mengingati beberapa rundingan sulit dengan Umno.

“Abdul Hadi lupa sejarah penubuhan AMANAH dan tak nampak realiti gerak kerja politik AMANAH masa kini.

“Lupakah Abdul Hadi kepada rundingan belakang tabir dan pertemuan rahsia pemimpin Pas dan Umno yang berlangsung bukan sekali?

“Kalau Abdul Hadi lupa, bolehlah dia merujuk kepada Nasharuddin Mat Isa (bekas Naib Presiden Pas), Nik Abduh dan Nasruddin Hassan.

“Tentu mereka tahu dan ingat. Takkan mereka pun lupa juga?” dipetik daripada status Facebook beliau hari ini.



Reaksi Ustaz Zolkharnain itu berhubung kenyataan Hadi dalam wawancara disiarkan Mingguan Malaysia semalam kononnya penubuhan AMANAH memecah-belahkan umat Islam.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu turut menganggap tindakan AMANAH meletakkan calon di kerusi ditandingi Pas pada pilihan raya akan datang memecahkan undi Melayu dan memberi talian hayat kepada Umno.

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain menyifatkan kenyataan dan keputusan Hadi sebenarnya yang memecah-belahkan umat Islam bukan AMANAH.

“Pemimpin Pas yang tak setuju dengan langkah Pas itu sudah keluar Pas dan bersama AMANAH.

“Siapa yang bagi talian hayat kepada Umno dalam semua catatan sejarah itu kalau bukan Pas? Mengapa Pas yang buat, tapi AMANAH yang kena?

“Selepas itu, Pas berslogan politik matang dan sejahtera diikuti dgn puji-pujian pemimpin Pas kepada Najib, puas hati dengan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan anggap Najib lebih baik daripada semua PM (perdana menteri) sebelumnya?

“Takkan Abdul Hadi tak tahu hal itu?” soalnya.

Bulan lalu, Abdul Hadi dipetik Berita Harian berkata, Pas lebih mudah melaksanakan hukum Islam di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berbanding dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Bahkan, Najib dalam perutusan tahun baru memuji Pas di bawah kepimpinan Abdul Hadi yang dianggap Presiden Umno itu sebagai politik lebih matang.

Sehubungan itu, Ustaz Zolkharnain menegaskan AMANAH wujud ekoran politik dangkal Pas yang menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) pecah selepas memutuskan hubungan politik dengan DAP dan PKR melalui muktamarnya.

“Pecahnya PR angkara Pas adalah talian hayat untuk Umno. AMANAH lahir untuk pastikan Umno tumbang, dan atas asas itulah Pakatan Harapan diwujudkan sebagai ganti kepada PR.

“Pakatan Rakyat pecah sedangkan Pakatan Rakyat (PR) adalah ancaman kepada Umno. Bukankah, tindakan memecahkan PR adalah talian hayat kepada Umno? Siapa yang buat?

“Umno tahu, kalau Pas kekal bersama PR, pasti BN akan tewas dalam PRU (pilihan raya umum).

“Umno tahu hal itu, lalu dedak ditabur dan disambar oleh pemimpin Pas. Umno seronok kerana PR berpecah. Abdul Hadi tak tahu sejarah ini?” bidasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...